Home SejarahTLDM #Pertahanan: Selat Melaka jadi medan perang 6 kapal TLDM

#Pertahanan: Selat Melaka jadi medan perang 6 kapal TLDM

by Nurulhuda

LUMUT, 17 Jul – Selat Melaka yang merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting dunia telah menjadi saksi babak peperangan maritim melalui Latihan Perang Pangkor Siri 1/2023 pada 13 dan 14 Julai lalu.

Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, Perang Pangkor 1/23 yang merupakan kesinambungan latihan kesiagaan bagi Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini melibatkan 6 buah aset permukaan.

Antara aset yang terlibat adalah KD MAHAWANGSA, KD LEKIU, KD GAGAH SAMUDERA, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL dan KD JERAI.

“Selain kapal, turut mengambil bahagian dalam latihan adalah pesawat Fennec dan Fast Combat Boat TLDM serta pesawat pejuang Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai elemen sokongan,”jelas MPA Barat menerusi hantaran di media sosialnya.

Menurut pihak MPA Barat, latihan ini merupakan sebahagian daripada program berterusan yang dijalankan oleh Armada Barat ke arah menentukan tahap kesiagaan dan keupayaan aset serta warganya sentiasa di tahap tertinggi.

“Pelbagai bentuk latihan telah disusun teliti bagi menguji keupayaan Armada Barat termasuklah dalam aspek Navigasi, Komunikasi, Ilmu Kelautan dan Peperangan Maritim,

“Manakala aspek Mengawal Kerosakan dan Melawan Api (MKMA) turut ditekankan dan dinilai bagi menentukan warga kapal-kapal terlibat benar-benar mampu menangani semua bentuk kerosakan atau ancaman kemusnahan akibat serangan musuh,” jelas MPA Barat.

Selian itu, latihan kesiagaan sebegini merupakan pendekatan efektif dalam mengekalkan profesionalisme warga di samping kesiagaan kapal Armada Barat TLDM agar sentiasa berada di tahap tertinggi bagi mendepani sebarang bentuk ancaman.

“Istilah latin menyatakan ‘Si Vis Pacem, Para Bellum’ yang membawa maksud sekiranya mahukan keamanan, buatlah persiapan untuk berperang,

“Semestinya pelbagai bentuk latihan berkala akan terus dilaksanakan demi memastikan Armada Barat TLDM sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara bertuah ini,” ujar hantaran itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply