Home Teknologi PertahananMengenali Hava SOJ: ‘Perisai elektronik’ baharu ruang udara Türkiye

Mengenali Hava SOJ: ‘Perisai elektronik’ baharu ruang udara Türkiye

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Dalam persaingan ruang udara moden, keupayaan mengesan, mengganggu dan memperdaya sistem radar musuh kini menjadi sebahagian penting dalam operasi udara.

Atas keperluan itu, Turkiye memperkenalkan aset strategik terbaharunya iaitu Hava SOJ (Stand-Off Jammer), sebuah pesawat peperangan elektronik (EW) udara yang dibangunkan bagi menyokong operasi dari jarak selamat. Platform ini dibangunkan oleh Turkish Aerospace bersama Aselsan, dua pemain utama industri pertahanan negara itu.

Kemunculan rasmi pertama Hava SOJ oleh Kementerian Pertahanan Negara Turkiye (MND) dikesan melalui klip video pada 1 Jun 2026. Walaupun kelihatan hanya kurang daripada satu saat ketika menjalani ujian pra-penghantaran di kilang, paparan itu memberi petunjuk bahawa program berkenaan sudah memasuki fasa penting sebelum penyerahan kepada Tentera Udara Turkiye.

Peranan dalam Misi SEAD dan DEAD

Tugas utama Hava SOJ merupakan bagi memimpin misi SEAD (Suppression of Enemy Air Defences) dan DEAD (Destruction of Enemy Air Defences), iaitu operasi menekan atau memusnahkan pertahanan udara musuh. Dalam ruang udara yang dipertahankan sistem radar, peluru berpandu dan rangkaian komunikasi moden, pesawat tempur konvensional berdepan risiko tinggi sebelum dapat menghampiri sasaran.

Di sinilah Hava SOJ memainkan peranan sebagai “pembuka laluan” operasi. Menurut laporan pertahanan antarabangsa, platform ini dijangka digunakan untuk mengenal pasti pemancar radar dan komunikasi musuh dari udara, darat, dan laut. Selepas mengesan sasaran, sistem ini boleh digunakan untuk memperdaya atau menganggu isyarat tersebut dari luar zon ancaman.

Konsep (Stand-Off) ini penting kerana pesawat tidak perlu berada terlalu hampur dengan kawasan yang dilindungi sistem pertahanan udara musuh. Gangguan terhadap radar, komunikasi dan sistem pengawasan boleh membuka ruang operasi yang lebih selamat kepada pesawat mesra. Namun, istilah “koridor selamat” perlu difahami secara terkawal. Ia mnegurangkan risiko kepada pesawat tempur, tetapi tidak menghapuskan ancaman sepenuhnya.

Mengapa Jet Perniagaan Menjadi Pilihan?

Hava SOJ dibina berasaskan Bombardier Global 6000, sebuah jet perniagaan jarak jauh yang turut digunakan sebagai asas kepada beberapa platform misi khas. Pemilihan platform komersial ini bukan sekadar soal keselesaan kabin, tetapi berkait dengan jarak penerbangan, altitud operasi, ruang dalaman dan kesesuaian integrasi sistem elektronik.

Berbanding pesawat pengangkut tentera tradisional yang besar dan berat, jet perniagaan lazimnya menawarkan kecekapan kos operasi yang jauh lebih rendah, pantas dan sesuai untuk misi khas yang tidak memerlukan ruang kargo besar. Namun, kelebihan kos sebenar tetap bergantung pada konfigurasi sistem misi, latihan kru, penyelenggaraan dan sokongan jangka panjang.

Dari sudut operasi, keupayaan terbang pada altitud tinggi memberi kelebihan kepada pesawat pengacau elektronik. Semakin tinggi pesawat itu berada, semakin luas garis penglihatan (line-of-sight) bagi sistem antena terhadap kawasan sasaran. Ini membolehkan pancaran gangguan elektronik menjangkau kawasan lebih luas, tertakluk kepada kuasa sistem, bentuk muka bumi dan profil ancaman.

Evolusi Jet Korporat ke Medan Perang

Langkah Türkiye mengubah suai jet perniagaan menjadi aset ketenteraan mencerminkan pendekatan yang semakin lazim dalam platform misi khas moden. Beberapa negara dan syarikat pertahanan kini turut menggunakan jet korporat jarak jauh sebagai asas kepada pesawat amaran awal, pengawasan, risikan isyarat dan peperangan elektronik.

Pendekatan ini mempunyai logik tersendiri. Jet korporat menawarkan endurance yang baik, ruang kabin mencukupi untuk konsol misi, kelajuan tinggi serta keupayaan beroperasi pada altitud yang sesuai untuk sensor dan antena. Bagi pesawat peperangan elektronik, faktor seperti bekalan kuasa, penyejukan sistem, kestabilan penerbangan dan integrasi antena turut menjadi pertimbangan utama.

Oleh itu, Hava SOJ bukan sekadar jet perniagaan yang dipasang peralatan tentera. Ia ialah platform misi khas yang memerlukan integrasi menyeluruh antara pesawat, sistem elektronik, komunikasi taktikal, pautan data dan pengurusan misi.

Industri tempatan dan batas maklumat

Antara aspek penting projek ini ialah penglibatan industri pertahanan Türkiye sendiri. Aselsan dilaporkan menyediakan komponen misi kritikal, perisian dan algoritma khas untuk sistem peperangan elektronik Hava SOJ.

Bagaimanapun, butiran teknikal sistem ini masih belum didedahkan sepenuhnya. Türkiye belum memperincikan julat gangguan, tahap kuasa pancaran, jenis radar atau komunikasi yang boleh diproses, serta tarikh kemampuan operasi penuh.

Bagi Ankara, Hava SOJ menunjukkan usaha membina keupayaan peperangan elektronik udara secara lebih mandiri. Jika program ini berjaya diserahkan dan dioperasikan seperti dirancang, Türkiye bakal memiliki lapisan tambahan dalam operasi udara, khususnya bagi mengurangkan keberkesanan radar dan komunikasi musuh.

Namun, aset ini tidak wajar dibaca secara berlebihan sebagai bukti bahawa sistem pertahanan udara serantau boleh dineutralkan sepenuhnya. Nilai strategiknya lebih tepat dilihat sebagai pengganda kuasa yang memperkukuh keupayaan operasi udara Türkiye, di samping memperlihatkan kemajuan industri pertahanan negara itu dalam bidang peperangan elektronik moden. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply