Home SejarahTLDM TLDM dan TNI-AL kongsi kepakaran, pengalaman dalam Eks MALINDO JAYA

TLDM dan TNI-AL kongsi kepakaran, pengalaman dalam Eks MALINDO JAYA

by Nurulhuda

SURABAYA, 30 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui asetnya iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI telah menyertai Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia Siri 26AB/22 (MALINDO JAYA 26AB/22) di Pangkalan KOARMADA II, Surabaya, mulai 29 Ogos sehingga 3 September 2022.

Upacara pembukaan eksesais ini telah disempurnakan oleh Panglima Komando Armada II (PANGKORMADA II), Laksamana Muda TNI T.S.N.B Hutabarat dan disaksikan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis, semalam.

Hutabarat dalam ucapannya menyatakan, eksesais ini terbahagi kepada 3 fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa penutup.

“Semasa fasa pelabuhan para peserta akan menjalani Command Post Exercise (CPX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE) KOPASKA-PASKAL dan taklimat pra-pelayaran di Pangkalan KOARMADA II,

“Seterusnya, aset-aset yang terlibat akan belayar ke perairan Laut Jawa untuk fasa laut sebelum kembali semula ke Surabaya bagi fasa penutup,” jelasnya.

Sementara itu, Abu Bakar turut menjelaskan, eksesais ini bukan sahaja bertujuan bagi memperkasakan hubungan diplomasi pertahanan, malah merupakan platform untuk kedua angkatan laut berkongsi pengalaman dan pembelajaran serta amalan-amalan baik yang bakal ditempuhi sepanjang LATMA MALINDO JAYA.

Beliau turut berkesempatan melaksanakan Kunjungan Hormat terhadap PANGKORMADA II di Gedung Nala, KOARMADA II sebelum upacara pembukaan.

Terdahulu KD Lekiu dan KD Sri Indera Sakti telah belayar dari Tambatan Pangkalan Lumut ke Surabaya pada 23 Ogos yang lalu bagi menyertai Eksesais MALINDO JAYA 26AB/22.

Eksesais ini juga merupakan salah satu siri eksesais yang akan ditempuhi oleh KD Lekiu dalam pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 (RPEX22).

“Diharapkan pelaksanaan eksesais ini dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini serta mencapai objektif yang telah digariskan,” jelas TLDM.

Turut serta semasa upacara pembukaan adalah delegasi dari Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) dan TLDM serta warga KD Lekiu, KD Sri Indera Sakti, KRI RADEN EDDY MATRADINATA dan KRI TOMBAK. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply