KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan negara termasuk melibatkan serangan siber.
Menurutnya, serangan atau ancaman bukan tradisional dalam bidang pertahanan itu sering berlaku, namun kementerian sentiasa bersiap sedia bagi membendung perkara terbabit.
“Tidak wajar ada jurang dalam menjayakan pertahanan kita. Perkara penting ialah kita perlu ada kekuatan dan kemampuan untuk menanganinya (ancaman siber),
“Kita memang beri perhatian dan fokus untuk mempertingkatkan pertahanan kerana teknologi berubah dan membangun dengan begitu pantas sekali, kita kena keep pace,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, hari ini.
Pada Mac lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari, khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Jelasnya, serangan melibatkan pelbagai pihak berkenaan bukan sahaja bertujuan mengintip pergerakan Malaysia terhadap konflik yang berlaku di Gaza, malah mereka turut menggodam sistem pertahanan negara.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #MINDEF #serangansiber #Palestin