Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat sasar 320 promosi, tingkat penyertaan Askar Wataniah di seluruh negara

Tentera Darat sasar 320 promosi, tingkat penyertaan Askar Wataniah di seluruh negara

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 Jul – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) menyasarkan 320 promosi Askar Wataniah (AW) di seluruh negara bagi meningkatkan penglibatan orang awam sesuai dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gerak kerja ini dilaksanakan secara fizikal oleh pasukan AW yang berpengkalan di setiap negeri sebagai langkah mendapatkan keahlian baru yang terdiri dari warga setempat.

Menurutnya, di peringkat nasional pula, media arus perdana digunapakai untuk menghebahkan aktiviti semasa AW untuk tontonan masyarakat dan seterusnya menilai peranan yang dimainkan oleh pasukan ini sebagai warga pertahanan negara.

“Sebagai usaha menambahbaik promosi AW, laman sesawang imwatan telah dilancarkan pada tahun 2021 bagi memudahkan masyarakat mengakses maklumat berhubung dengan skim perkhidmatan yang ditawarkan seterusnya membuat pendaftaran secara online,” jelasnya dalam penyataan lisan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Abdul Nasir Idris yang minta mengenai usaha Kerajaan dalam mempromosikan Askar Wataniah bagi meningkatkan penglibatan orang awam sesuai dengan konsep HANRUH.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mempromosikan AW ini, pihaknya juga telah melantik ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) yang terdiri daripada individu yang mempunyai pengaruh di setiap negeri.

Jelasnya, pelantikan ini merupakan satu usaha bersepadu antara TDM dan pihak kerajaan negeri dan sekali gus menggalakkan lebih ramai anak tempatan untuk menyertai pasukan tersebut.

Tambah Mohamed Khaled, TDM juga mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjana penglibatan pelajar ke dalam AW.

“Sehingga kini terdapat, 19 Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Awam sebagai langkah memperkasakan AW di pusat pengajian ini,

“Seramai 19 Naib Canselor Universiti telah dilantik sebagai Komandan PALAPES (17 pelantikan TDM dan 2 Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM) yang dibantu oleh pensyarah yang terdiri dari Pegawai Sukarela,

“Selain itu juga, terdapat 19 Politeknik di seluruh negara yang mana para pensyarah dan pelajar menganggotai pasukan AW melalui kolaborasi antara MINDEF dan KPT,” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memaklumkan, TDM juga sedang melakukan penambahbaikan dan pengemaskinian modul latihan sedia ada agar lebih sesuai dan menarik untuk menarik minat masyarakat setempat menyertai pasukan ini. -airtimes.my

#pertahanan #AskarWataniah #TDM #Mindef #airtimes #Malaysia

Leave a Reply