KUALA LUMPUR, 15 OKT – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan selepas beberapa anggota pengaman PBB di selatan Lubnan mendapat ancaman di tengah-tengah konflik antara Hezbollah dan Israel.
Majlis Keselamatan PBB berkata, pengaman UNIFIL yang ditempatkan di kawasan sempadan antara Lubnan dan Israel itu tidak boleh menjadi sasaran serangan oleh mana-mana pihak.
“Kami menggesa semua pihak agar menghormati keselamatan kakitangan dan premis United Nations Interim Forces in Lebanon (UNIFIL).
“Majlis Keselamatan juga menggesa pelaksanaan sepenuhnya resolusi 1701, yang diterima pakai pada 2006 dengan tujuan untuk menjaga keamanan di sempadan antara Lubnan dan Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementera itu, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata sejak permulaan operasi darat Israel di Lubnan pada 1 Oktober, kedudukan UNIFIL telah terjejas sebanyak 20 kali.
“Ia termasuk oleh tembakan terus dan insiden pada hari Ahad apabila dua kereta kebal Israel pecah melalui pintu pangkalan UNIFIL.
“Lima pasukan pengaman telah cedera semasa insiden ini, termasuk seorang pengaman yang mengalami luka peluru manakala punca tembakan itu masih belum disahkan oleh UNIFIL” katanya.
Sejak dua minggu lalu Israel telah memberitahu pasukan pengaman PBB untuk bergerak 5 km ke belakang dari Garis Biru yang memisahkan Lubnan dari Israel dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
Manakala, Ketua Pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata bahawa tentera PBB tidak akan bergerak dari kawasan yang ditetapkan itu. -airtimes.my
#AirTimes #Global #UNIFIL