Home DiskusiKolumnis: Dekad baharu TUDM, membina kuasa udara sebagai perisai negara

Kolumnis: Dekad baharu TUDM, membina kuasa udara sebagai perisai negara

Dekad baharu TUDM bukan sekadar berkisar kepada perolehan aset baharu, tetapi pembinaan kuasa udara yang lebih moden, bersepadu dan berdaya cegah melalui FA-50M, ANKA-S, MPA, radar jarak jauh, pertahanan udara berlapis serta hala tuju program MRCA.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Dekad akan datang dijangka menjadi tempoh penting dalam transformasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan banyak perancangan berkaitan perolehan baharu.

Ini sepertimana digambarkan Gambaran Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Kuantan.

Perancangan yang didedahkan beliau menunjukkan pembangunan keupayaan angkatan udara ini dilaksanakan secara berfasa dan berterusan.

Pendekatan tersebut mengambil kira ancaman keselamatan serantau yang semakin kompleks bertepatan dengan slogan TUDM sebagai ‘Kuasa Udara, Perisai Negara’.

Bagaimana pun, dalam masa sama TUDM perlu mengimbangi keperluan operasi dengan kekangan peruntukan kewangan negara di mana faktor tersebut tidak boleh diketepikan.

Tahun 2026 menjadi detik penting pada dekad ini dengan ketibaan dua pesawat FA-50M pada Oktober nanti apabila membuka lembaran baharu kepada program FLIT/LCA.


Pesawat FA-50M dari Korea Selatan akan mula tiba di Malaysia pada Oktober ini. /Gambar: FB TUDM


Pesawat ini bukan sahaja meningkatkan kemampuan latihan juruterbang, malah memperkukuh keupayaan tempur ringan negara.

Sehubungan itu, persediaan infrastruktur di Pangkalan Udara Kuantan yang hampir siap membuktikan perolehan ini berada pada landasan tepat.

Latihan juruterbang dan pasukan teknikal di Korea Selatan turut memastikan proses peralihan berjalan lancar.

Selain aset tempur, pembangunan pesawat tanpa pemandu ANKA-S juga menjadi keutamaan dalam memperkukuh operasi moden TUDM.


ANKA-S, pesawat pemandu buatan firma ANKA dari Turkiye ini telah diserahkan kepada TUDM pada pertengahan Jun lalu. /Gambar: TUDM


Penambahan UAV ANKA-S akan meningkatkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan secara berterusan.

Walaupun tidak dilengkapi dengan persenjataan, namun sistem peperangan elektronik dan keupayaan pengawasannya mampu memberikan nilai strategik yang tinggi.

Kemasukan tiga unit UAVpemintas dan pengawasan ANKA-S buatan Turkiye bernilai RM423.8 juta secara rasminya membawa TUDM ke fasa operasi udara berbeza.

TUDM beralih kepada penggunaan teknologi tanpa pemandu (UAV) berdaya tahan tinggi dan berpusatkan rangkaian.

UAV ini kini berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ strategik negara dengan pelbagai pembaharuan operasi.


P-72M merupakan pesawat rondaan maritim yang berasaskan ATR 72-600 keluaran Leonardo. /Gambar hiasan: Leonardo


Keupayaan ISR juga diperkasakan menerusi perolehan pesawat rondaan maritim (MPA) P-72M pada tahun hadapan.

Aset tersebut bakal meningkatkan pemantauan kawasan perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif negara.

Sepertimana program MRCA, pesawat MPA juga merupakan antara aset yang telah lama dinantikan ATM sejak 25 tahun lalu.

Dalam aspek pertahanan udara, pembangunan radar jarak jauh menjadi elemen paling kritikal.

Radar baharu di Bintulu, Bukit Peteri dan Bukit Lunchu akan memperkukuh sistem amaran awal negara.

Pemasangan radar di Pulau Layang-Layang pula memperluaskan liputan pemantauan di Laut China Selatan.

Pendekatan ini menunjukkan pengesanan awal menjadi teras kepada sistem pertahanan udara negara.

Pada masa sama, perolehan sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana semakin menghampiri fasa penilaian akhir.

Kerajaan telah memperuntukkan dana RM1.9 bilion dalam belanjawan bagi memperoleh aset strategik ini untuk memperkasa pertahanan negara.

Gabungan sistem MERAD, SHORAD dan VSHORAD bakal mewujudkan pertahanan udara berlapis yang lebih menyeluruh.

Keupayaan sedemikian amat penting bagi menghadapi ancaman pesawat, peluru berpandu dan UAV moden.

Walaupun tidak dinyatakan, tetapi sistem MERAD ini sudah pasti akan diintegrasikan atau boleh beroperasi sekali dengan sistem pertahanan udara milik GAPU (Tentera Darat).


Pelan perolehan MRCA bakal menjadi tumpuan dalam masa terdekat. /Gambar: FB TUDM


Namun begitu, cabaran terbesar TUDM pada dekad ini masih tertumpu kepada program Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA).

Jurang teknologi yang semakin melebar menyebabkan pemilihan pesawat perlu dibuat dengan lebih teliti.

TUDM perlu mempertimbangkan sama ada memilih pesawat generasi 4.5, generasi kelima atau meneruskan projek FA-50M batch kedua.

Keputusan tersebut bukan sahaja melibatkan aspek operasi tetapi juga kos sepanjang hayat perkhidmatan aset.

Jika projek FA-50M batch kedua dilaksanakan, pesawat ini masih berupaya bertindak sebagai pesawat tempur interim sehingga kerajaan bersedia menyediakan peruntukan secukupnya bagi memiliki skuadron MRCA.

Konsep LCA sebenarnya boleh menjadi tulang belakang strategik bagi tentera udara yang berhadapan dengan kekangan belanjawan.

Ia membolehkan pasukan mengekalkan keupayaan tempur, latihan juruterbang, dan kedaulatan ruang udara tanpa menanggung kos operasi yang membebankan.

Jika sekali pun pesawat generasi 4.5 menjadi pilihan MRCA, ia dilihat masih memadai kepada TUDM kerana setidak-tidaknya telah ada pesawat tempur moden.


C-130H merupakan pesawat angkut yang telah banyak berbakti kepada negara dalam apa jua keadaan. /Gambar: FB TUDM


Dalam masa sama, armada C-130H Hercules yang semakin berusia memerlukan pelan penggantian yang realistik.

Keupayaan pengangkutan udara strategik tidak boleh dikompromi kerana menjadi tulang belakang operasi TUDM.

Pengumuman tentang rancangan penggantian Hercules juga bakal membuka dimensi baharu dalam operasi skuadron angkut negara.

Dengan kemasukan teknologi baharu, pesawat angkut juga tidak terkecuali di mana teknologi terkini menjadikan pesawat jenis ini semakin dinamik.

Keseluruhannya, pelan pembangunan TUDM memperlihatkan hala tuju yang jelas ke arah angkatan udara moden dan bersepadu.

Walaupun kekangan kewangan terus menjadi cabaran utama, keutamaan diberikan kepada aset yang mampu meningkatkan daya cegah negara.

Jika semua perancangan ini dapat direalisasikan mengikut jadual, TUDM akan muncul sebagai angkatan udara yang lebih berkeupayaan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply