SUBANG, 18 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima dua pesawat FA-50 pertama pada Oktober ini, manakala pesawat terakhir dijadual tiba pada Mac 2028.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, kemudahan bagi menempatkan pesawat itu di Pangkalan Udara Kuantan kini sudah melebihi 90 peratus siap.
“Saya boleh sahkan sudah lebih 90 peratus siap sedia. Hanya kerja-kerja kecil sahaja yang tinggal,” katanya semasa sidang media sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurut beliau, struktur utama bangunan bagi menempatkan pesawat FA-50 sudah selesai dan bersedia menerima ketibaan aset tersebut di Kuantan.
“Menjelang bulan Oktober ini sepatutnya tidak akan timbul apa-apa masalah besar. Jikalau ada pun mungkin hanyalah masalah kecil yang biasa ditemui, namun secara umumnya saya beri jaminan tiada masalah,” katanya.
Norazlan berkata, persiapan dari aspek modal insan juga telah digerakkan, dengan enam juruterbang TUDM kini berada di Korea bagi menjalani latihan dan proses kelayakan pesawat berkenaan.
Selain itu, anggota teknikal termasuk jurutera, mekanik dan juruteknik turut dihantar ke negara itu, namun jumlah terperinci pasukan sokongan tersebut akan dikongsikan kemudian.
Menurutnya, latihan itu penting bagi memastikan kru berkenaan pulang dengan keupayaan mengendalikan pesawat tersebut, selain membantu pembentukan skuadron baharu dan penyediaan prosedur operasi standard di pangkalan tempatan.
Tambah beliau, pesawat FA-50 juga akan menjadi platform penting dalam memperkukuh latihan juruterbang TUDM, khususnya selepas penamatan khidmat pesawat latih lanjutan Aermacchi.
Kemasukan platform baharu itu dijangka membantu TUDM mempercepatkan latihan juruterbang dan melancarkan peralihan kepada pengoperasian jet pejuang pada masa hadapan.-airtimes.my










