SUBANG, 18 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkukuh peranan kuasa udara sebagai perisai negara dalam menghadapi ancaman moden, termasuk melalui pembangunan radar baharu, pengoperasian Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S, persiapan pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) P-72M dan perolehan FA-50M.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, keupayaan kuasa udara dalam pengesanan awal, kesiapsiagaan pantas dan tindakan cegah rintang menjadikannya antara komponen pertahanan paling kritikal dalam konflik moden.
“Keupayaan aset udara untuk bertindak merentasi sempadan, jarak dan masa memberi kelebihan strategik yang sangat besar dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurut beliau, tema “Kuasa Udara, Perisai Negara” mencerminkan peranan TUDM bukan sahaja sebagai pelindung ruang udara, malah sebagai perisai kepada keselamatan, kestabilan dan kepentingan strategik Malaysia.
Norazlan berkata, hala tuju itu akan terus dipacu melalui enam Tonggak Perintah Ulung, dengan tumpuan kepada pelaksanaan CAP55 Fasa 1 bagi memastikan pembangunan keupayaan TUDM kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman masa hadapan.
Beliau berkata, TUDM kini sedang memperkukuh sistem pertahanan dan pemantauan ruang udara melalui pembangunan radar pertahanan udara di Bintulu, Bukit Peteri dan Bukit Lunchu, termasuk radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang.
“Keupayaan ini penting untuk meningkatkan pengesanan awal dan menutup jurang pemantauan ruang udara negara, khususnya di kawasan strategik,” katanya.
Dalam aspek risikan, pengawasan dan peninjauan, TUDM turut memberi tumpuan kepada pengoperasian UAS ANKA-S serta persiapan pengoperasian pesawat MPA P-72M bagi meningkatkan pengawasan, pengumpulan maklumat dan pemantauan kawasan kepentingan negara.
Selain itu, pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan dilaksanakan melalui program Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), dengan perolehan pesawat FA-50M bagi memperkukuh ekosistem latihan dan keupayaan operasi TUDM secara berperingkat.
Pada masa sama, TUDM turut memperkukuh sokongan logistik dan penyelenggaraan aset melalui kerjasama strategik dengan industri pertahanan tempatan bagi meningkatkan keupayaan sustainment serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
Perbarisan HUT TUDM ke-68 berlangsung di Hangar No 8 Skuadron, Pangkalan Udara Subang dengan konsep tempur statik melibatkan 16 pegawai dan 272 anggota lain-lain pangkat.
Sambutan itu turut menyaksikan penyampaian Pingat Perkhidmatan Am, Pingat Perkhidmatan Setia dan Sijil Kepujian Panglima Tentera Udara kepada 17 penerima.-airtimes.my
