Home SemasaMalaysia, Rusia teroka kerjasama tenaga dan minyak jangka panjang

Malaysia, Rusia teroka kerjasama tenaga dan minyak jangka panjang

Anwar dan Putin turut bincang peluasan kerjasama ekonomi, teknologi baharu, keselamatan siber, AI, pertanian moden, farmaseutikal serta perdagangan menggunakan Ringgit dan Ruble.

by M.Daim
A+A-
Reset

KAZAN, 18 Jun – Malaysia dan Persekutuan Rusia meneroka kerjasama strategik bagi memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang, ketika kedua-dua negara berusaha memperluas hubungan ekonomi serta pelaburan dua hala.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh potensi kerjasama dalam sektor tenaga yang disifatkan sebagai antara bidang strategik bagi Malaysia dan Rusia.

Perbincangan turut merangkumi ketetapan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

Selain tenaga, Anwar dan Putin turut bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama dalam teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan menggunakan mata wang tempatan, iaitu Ringgit dan Ruble.

Dalam transkrip pertemuan yang disiarkan Kremlin, Putin menyifatkan Malaysia sebagai rakan lama Rusia di rantau Asia-Pasifik.

“Malaysia merupakan rakan kongsi Rusia yang telah lama terjalin dan boleh dipercayai di rantau Asia-Pasifik. Hubungan kita sentiasa dibina berlandaskan prinsip saling menghormati serta mengambil kira kepentingan satu sama lain,” katanya.

Putin berkata, hubungan Malaysia-Rusia turut diperkukuh melalui penyelarasan dalam beberapa platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau turut menyatakan dialog politik antara kedua-dua negara semakin aktif, termasuk melalui lawatan rasmi Anwar ke Rusia pada Mei tahun lalu serta lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Rusia.

“Tahun hadapan menandakan genap 60 tahun penubuhan hubungan diplomatik kita. Kita menghampiri tarikh tersebut dengan pengalaman positif yang meluas hasil kerjasama yang saling menguntungkan, serta asas yang kukuh untuk terus mengembangkannya,” katanya.

Menurut Putin, nilai perdagangan antara Malaysia dan Rusia meningkat 12.9 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply