Home Pertahanan dan KeselamatanKapal kedua LMSB2 TLDM dinamakan RAJA LAUT

Kapal kedua LMSB2 TLDM dinamakan RAJA LAUT

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

ISTANBUL, 8 JUN – Kapal kedua Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi dinamakan RAJA LAUT pada Majlis Penamaan dan Pelancaran di Istanbul Shipyard, Turkiye.

Majlis itu disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku Royal Sponsor, dengan keberangkatan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Kepten Yang Dipertua TLDM.

Menurut hantaran di akaun media sosial rasmi Selangor Press Office pada Ahad, keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

“Atas titah perkenan Sultan Selangor, kapal perang moden kedua dalam siri LMSB2 ini secara rasminya telah dinamakan sebagai ‘RAJA LAUT’, mengambil sempena nama tokoh bangsawan dan pentadbir berwawasan Selangor dari akhir abad ke-19,” menurut hantaran itu.

Mengikut tradisi tentera laut sejagat, Tengku Permaisuri Selangor berkenan memecahkan kendi di haluan kapal yang diisi air yasin daripada air kolah sembilan masjid di sembilan daerah Selangor sebagai simbolik pelancaran.

Raja Laut merupakan putera kedua kepada Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga daripada susur galur keturunan Bugis Opu Daeng Chelak.

“Penerapan nama pada aset strategik TLDM merupakan simbol keberanian dan penghormatan tinggi terhadap identiti maritim negara,” menurut hantaran itu.

Kehadiran kapal berkenaan dijangka meningkatkan kesiapsiagaan armada TLDM dalam memelihara keselamatan, kedaulatan dan perlindungan perairan negara secara menyeluruh.

Pelancaran kapal LMSB2 pertama


Pelancaran RAJA LAUT menyusul selepas kapal LMSB2 pertama TLDM dinamakan TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL pada 24 Mei lalu di Istanbul Shipyard.

Kapal pertama itu dinamakan sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, dan selepas pelancarannya dijadualkan memasuki fasa Setting to Work serta integrasi sistem peperangan dan penderia.

3 kapal akan dilancarkan pada tahun ini

Ketua Pengurus STM, Özgür Güleryüz sebelum ini berkata, projek LMSB2 merupakan kontrak jualan produk pertahanan pertama secara kerajaan dengan kerajaan antara Turkiye dan Malaysia.

Beliau berkata, STM menyasarkan kapal kedua dalam siri LMSB2 dilancarkan pada Jun, manakala kapal ketiga pada Ogos tahun ini.

“Dengan kadar pembinaan yang pantas, kami menyasarkan kapal kedua siri ini dilancarkan pada Jun dan kapal ketiga pada Ogos tahun ini,” katanya semasa majlis pelancaran kapal pertama LMSB2 pada 24 Mei lalu.

Menurut beliau, ketiga-tiga korvet berkenaan yang akan dilengkapi sistem persenjataan dan penderia moden dijadualkan diserahkan kepada TLDM pada 2027.

Program LMSB2 melibatkan pembinaan tiga buah korvet untuk TLDM, dengan STM bertindak sebagai kontraktor utama bagi reka bentuk, pengurusan projek, pembinaan, perolehan bahan dan sistem, integrasi, ujian serta sokongan logistik bersepadu.

Spesifikasi


Berdasarkan maklumat teknikal STM, korvet LMSB2 mempunyai panjang keseluruhan 99.56 meter, lebar maksimum 14.42 meter, draf 3.94 meter dan sesaran kira-kira 2,500 tan.

Kapal itu disenaraikan dengan kelajuan maksimum melebihi 26 knot, kelajuan pelayaran 14 knot, jarak operasi melebihi 5,000 batu nautika pada kelajuan 14 knot, kapasiti 111 orang serta ketahanan operasi selama 14 hari.

Dari segi persenjataan, kapal LMSB2 dilengkapi meriam utama 76mm, meriam sekunder 30mm, pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan, pelancar peluru berpandu permukaan ke udara serta sistem pelancar umpanan.

Sistem kapal turut merangkumi sistem pengurusan tempur, radar pengawasan 3D, sistem IFF, radar kawalan tembakan, C-ESM dan pautan data taktikal.

STM turut menyenaraikan peluru berpandu anti-kapal ATMACA keluaran ROKETSAN, sistem pengurusan tempur oleh HAVELSAN serta sistem sensor dan elektronik oleh ASELSAN sebagai sebahagian daripada konfigurasi kapal.

Perolehan LMSB2 merupakan sebahagian daripada usaha modenisasi armada TLDM di bawah Pelan Transformasi 15-to-5. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply