Home Teknologi PertahananKuasa hibrid elektrik: Bagaimana E-ZPT mengubah taktik intipan medan perang

Kuasa hibrid elektrik: Bagaimana E-ZPT mengubah taktik intipan medan perang

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Perkembangan teknologi ketenteraan global kini menyaksikan anjakan paradigma melalui penyepaduan kuasa elektrik dalam platform tempur. Evolusi ini tidak lagi hanya tertumpu kepada peningkatan kuasa tembakan atau perlindungan perisai, sebaliknya memberi penekanan terhadap mobiliti, kecekapan tenaga dan kebolehupayaan beroperasi dengan isyarat bunyi serta haba yang lebih rendah.

Pada 10 Julai 2026, syarikat pertahanan milik kerajaan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi (MKE), secara rasmi menyerahkan tiga unit pertama Pengangkut Anggota Berperisai Elektrik (E-ZPT) kepada Pemerintahan Tentera Darat Turki.

Penyerahan ini merupakan kumpulan awal daripada keseluruhan 50 buah kenderaan yang dirancang. Ini membuktikan bahawa evolusi pemodenan aset sedia ada mampu menghasilkan platform tempur yang lebih relevan bagi memenuhi keperluan medan peperangan moden.

Rangkaian kuasa elektrik tingkatkan kelebihan taktikal

Dalam konflik masa kini, ancaman tidak lagi datang semata-mata daripada penglihatan musuh. Sistem penderia akustik jarak jauh, kamera inframerah dan pelbagai sensor elektro-optik kini digunakan secara meluas untuk mengesan pergerakan kenderaan tempur.

Enjin diesel konvensional menghasilkan bunyi operasi dan haba yang tinggi, sekali gus meningkatkan kebarangkalian dikeksan. Di sinilah letaknya keunggulan E-ZPT, digunakan bagi mengatasi cabaran itu, ia menggunakan rangkaian kuasa hibrid elektrik yang dibangunkan sepenuhnya oleh industri pertahanan Turkiye.

Sistem ini membolehkan kenderaan bergerak menggunakan mod elektrik penuh yang mengurangkan bunyi operasi dengan ketara berbanding enjin diesel baisa. Selain itu, ketiadaan pelepasan ekzos ketika beroperasi dalam mod elektrik turut membantu mengurangkan haba, sekali gus meningkatkan operasi peninjauan, rondaan atau penyusupan secara lebih berhati-hati.

Walaupun menggunakan sistem elektrik, prestasi mobilitinya kekal kompetitif. Platform seberat kira-kira 15 tan itu mampu memecut daripada sifar hingga 50 km sejam dalam tempoh lapan saat.

E-ZPT mempunyai jarak operasi sehingga 150 km dalam mod elektrik penuh, manakala konfigurasi hibrid yang menggabungkan bateri dan penjana diesel meningkatkan jarak operasi keseluruhan kepada sekitar 650 km. Sistem baterinya juga menyokong pengecasan pantas daripada 20 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar satu setengah jam sahaja.

Nafas baharu M113 melalui

Antara aspek paling menarik projek ini ialah pendekatan MKE yang memilih untuk menaik taraf platform M113 berbanding membangunkan sebuah APC baharu dari awal.

Strategi ini mengurangkan kos pembangunan dan mempercepatkan proses pengeluaran dengan mengekalkan struktur asas yang telah terbukti selama puluhan tahun, sambil menggantikan sistem pemacu kepada teknologi elektrik moden.

Sebelum diserahkan kepada Tentera Darat Turkiye, E-ZPT menjalani ujian ketahanan sejauh 3,000 km. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,600 km dilaksanakan di laluan luar jalan (off-road), 800 km di jalan berturap dan 600 km di laluan berkerikil.

Kenderaan itu turut membuktikan keupayaan merentasi rupa bumi mencabar apabila berjaya mendaki cerun sehingga 60 peratus dan mengendalikan cerun sisi sehingga 30 peratus.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa platform legasi masih mampu memenuhi keperluan operasi moden melalui pemodenan menyeluruh terhadap sistem pemacu, elektronik dan subsistemnya.

Model Contoh buat Negara Membangun

Pendekatan bijak Turkiye dalam memodenkan platform M113 ini secara tidak langsung menyuntik inspirasi dan pengajaran sangat berharga bagi beberapa negara membangun. Misalnya, Malaysia masih menggunakan pelbagai platform berantai termasuk M113 dan ACV-300 Adnan yang terus memainkan peranan penting dalam operasi Tentera Darat.

Menggantikan keseluruhan inventori dengan varian import baharu memerlukan peruntukan yang amat besar. Sehubungan itu, konsep lanjutan hayat perkhidmatan atau Life Extension Programme (LEP) seperti yang dilaksanakan melalui E-ZPT boleh dijadikan antara rujukan dalam merancang pemodenan aset sedia ada.

Namun begitu, sebarang pelaksanaan perlu mengambil kira kesesuaian reka bentuk asal setiap platform, keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta analisis kos dan faedah secara menyeluruh.

Selain sistem kuasa baharu, pemodenan juga melibatkan pemasangan stesen senjata kawalan jarak jauh (RCWS), sistem pemantauan digital, sistem penindasan kebakaran automatik dan peningkatan perlindungan terhadap ancaman moden.

Pendekatan sedemikian berpotensi meningkatkan keupayaan tempur tanpa memerlukan penggantian keseluruhan armada.

Kemandirian industri pertahanan sebagai keutaman

Kejayaan projek E-ZPT memperlihatkan usahsa Turkiyemembangunkan teknologi pertahanan secara domestik. Pembangunan kuasa hibrid elektrik oleh syarikat tempatan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar, selain memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan sekiranya berlaku sekatan teknologi atau gangguan geopolitik.

Transformasi MKE daripada pengeluar peluru kepada peneraju teknologi mobiliti elektrik ketenteraan menunjukkan bagaimana pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan mampu melahirkan keupayaan strategik baharu.

Dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks, E-ZPT membuktikan bahawa pemodenan tidak semestinya memerlukan pembangunan platform serba baharu. Sebaliknya, gabungan inovasi teknologi, pemanjangan hayat aset dan pembangunan industri tempatan mampu menghasilkan keupayaan yang lebih lestari, berdaya saing dan bersesuaian dengan keperluan peperangan abad ke-21. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply