Home Teknologi PertahananWeststar, RTI tubuh usaha sama aeroangkasa dan pertahanan dengan potensi USD10 bilion

Weststar, RTI tubuh usaha sama aeroangkasa dan pertahanan dengan potensi USD10 bilion

Weststar Defence Industries dan Rocket Technologies International akan menubuhkan syarikat usaha sama di Malaysia dan Australia bagi membangunkan keupayaan aeroangkasa, pertahanan, satelit serta teknologi pelancaran.

by M.Daim
A+A-
Reset

CANBERRA, 1 Jul – The Weststar Group melalui Weststar Defence Industries Sdn Bhd memeterai Perjanjian Usaha Sama Strategik (Strategic Joint Venture Agreement ) dengan syarikat aeroangkasa dan teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI), bagi menubuhkan syarikat usaha sama di Malaysia dan Australia.

Menurut kenyataan media Westar Defence, kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat(sovereign aerospace and defence capability development).

Pembangunan itu dijangka mempunyai potensi komersial jangka panjang melebihi USD10 bilion menerusi program aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju pada masa depan.

Perjanjian itu dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, dan Pengasas RTI, Allan James Payne, dalam satu majlis di National Convention Centre Canberra.

Majlis tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan entiti usaha sama khusus di Malaysia dan Australia bagi membangunkan serta menyampaikan keupayaan kritikal dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan.

Bidang kerjasama merangkumi pembuatan dan pemasangan sistem pertahanan bersepadu, sistem satelit awam serta penyelesaian satelit khusus kerajaan yang melibatkan reka bentuk dan kandungan tempatan. Kerjasama itu turut meliputi perkhidmatan ujian roket, pensijilan serta Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), selain pembangunan keupayaan pelancaran orbit dan sub-orbit.

Menurut kenyataan itu, inisiatif pembangunan industri nasional juga akan dilaksanakan melalui pendidikan tenaga kerja, latihan teknikal serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan universiti aeroangkasa dan pertahanan di Malaysia dan Australia.

Tan Sri Dr Syed Azman berkata, perjanjian tersebut bukan sekadar kerjasama perniagaan, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang untuk membina keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat.

“Perjanjian Usaha Sama Strategik ini mewakili lebih daripada sekadar kerjasama perniagaan. Ia mencerminkan komitmen jangka panjang untuk membina keupayaan aeroangkasa dan pertahanan berdaulat, mewujudkan industri bernilai tinggi serta memperkukuh kerjasama teknologi antara Malaysia dan Australia,” katanya.

Allan James Payne pula berkata, kerjasama itu menggabungkan kekuatan industri, kepakaran dan visi jangka panjang kedua-dua organisasi bagi membangunkan keupayaan berdaulat yang lebih maju.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan turut mengukuhkan momentum Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia, khususnya dalam bidang kemakmuran ekonomi, kerjasama industri pertahanan, teknologi maju, pendidikan dan inovasi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply