WASHINGTON, 26 JUN – Sistem sokongan dan senggaraan F-35 yang dibina untuk armada bersaiz 700 hingga 800 pesawat kini perlu ditingkatkan selepas lebih 1,300 pesawat itu diterima di seluruh dunia.
Pegawai Eksekutif Program F-35 Lightning II, Lt. Jen. Gregory Masiello berkata, keadaan itu menjadi antara cabaran utama kepada kesiagaan armada pesawat pejuang generasi kelima tersebut.
“Ketika ini terdapat lebih 1,300 pesawat F-35 yang sedang beroperasi, sedangkan sistem sokongan berterusan (sustainment) yang diwujudkan adalah untuk kira-kira 700 hingga 800 pesawat,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kecil Airland, Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat Amerika Syarikat pada 23 Jun lalu.
Menurut Masiello, Program F-35 kini menetapkan sasaran untuk mencapai kadar mampu misi (mission capable) sebanyak 80 peratus bagi keseluruhan armada selewat-lewatnya pada tahun 2030.
Beliau berkata, usaha penetapan semula Global Sustainment System sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan alat ganti, penyelenggaraan depot, pelan senggaraan, kapasiti pembaikan serta sistem teknologi maklumat logistik.
Masiello menjelaskan, isu utama bukannya kegagalan sistem secara menyeluruh, sebaliknya kekurangan alat ganti berbanding pertumbuhan pesat jumlah pesawat.
“Kita tidak meletakkan alat ganti dan komponen yang mencukupi dalam simpanan stok. Jumlah pesawat yang dioperasikan meningkat dengan ketara, tetapi perkara sama tidak dilakukan terhadap alat ganti dan sistem sokongan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa bajet tahun fiskal 2027 akan membantu mengisi semula keperluan alat ganti bagi meningkatkan kesiagaan armada.
Dalam kenyataan bertulisnya, Masiello berkata sistem sustainment F-35 kini diubah kepada model yang lebih dikawal oleh kerajaan dan berasaskan data, dengan tumpuan kepada prestasi rantaian bekalan serta keupayaan penyelenggaraan.
Katanya, penggunaan analitik lanjutan dan platform data masa nyata akan memberikan gambaran lebih jelas terhadap status pesawat, paras bekalan dan kitaran pembaikan.
Program F-35 kini melibatkan 20 peserta global, berbanding 12 pada 2016, dengan pesawat itu beroperasi di 42 lokasi dan 13 kapal di seluruh dunia. -airtimes.my
