Dunia latihan penerbangan ketenteraan hari ini menuntut platform yang mampu merapatkan jurang antara latihan asas dengan operasi helikopter moden. Dalam konteks itu, Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF) menerima Airbus H135 pertama yang dinamakan CT-153 Juno sebagai sebahagian daripada program Future Aircrew Training (FAcT).
Melalui pengumuman Airbus pada 17 Jun 2026, penghantaran dari kemudahan Airbus Helicopters di Fort Erie, Ontario itu menjadi antara penanda awal pemodenan latihan juruterbang RCAF. H135 ini dipilih oleh SkyAlyne, kontraktor utama FAcT, bagi memenuhi keperluan latihan juruterbang helikopter Kanada.
RCAF dijadual menerima 19 CT-153 Juno bagi menggantikan platform latihan terdahulu, termasuk CH-139 dan CT-146, di 3 Canadian Forces Flying Training School, Southport, Manitoba. Menurut Airbus, Kanada juga akan menyertai 12 angkatan tentera lain yang menggunakan H135 untuk latihan kru udara masa depan.
Dari segi skala, FAcT bukan sekadar projek helikopter. Ia merupakan program latihan jangka panjang bernilai C$11.2 bilion selama 25 tahun, merangkumi pesawat latihan, simulator, tenaga pengajar, penyelenggaraan, infrastruktur dan sokongan latihan. Dalam rangka itu, CT-153 Juno mengisi komponen latihan helikopter yang lebih moden dan berstruktur.
Pengurus Besar SkyAlyne, Kevin Lemke, berkata penghantaran pertama itu dicapai dalam tempoh 18 bulan dan menyifatkan CT-153 Juno sebagai “komponen teras” usaha industri, tentera, dan kerajaan untuk memodenkan kru udara RCAF.
Gerbang Digital: Keupayaan Sistem Avionik Helionix

Antara ciri utama CT-153 Juno ialah Helionix, sistem avionik digital Airbus yang direka untuk menyatukan maklumat penerbangan penting dalam kokpit. Bagi seorang pelatih, pendedahan awal kepada kokpit digital seperti ini boleh membantu mereka menyesuaikan diri sebelum beralih mengendalikan helikopter operasi yang lebih besar dan kompleks.
Helionix direka untuk mengurangkan beban kerja kognitif juruterbang (pilot workload) melalui paparan digital, bantuan juruterbang dan kesedaran situasi yang lebih baik. Dalam konteks latihan, fungsi ini penting kerana pelatih perlu membina kemahiran asas tanpa dibebani maklumat kokpit yang tidak tersusun.
Airbus menyatakan CT-153 Juno akan digunakan untuk membangunkan kemahiran teras juruterbang, termasuk latihan asas “ab-initio”, peraturan penerbangan instrumen lanjutan atau advanced IFR, serta latihan taktikal. Ini menjadikan Juno bukan sekadar platform latihan asas, tetapi sebahagian daripada laluan latihan yang lebih hampir kepada persekitaran operasi sebenar.
Selain itu, Helionix turut menawarkan tahap kestabilan penerbangan yang sangat tinggi dan mengurangkan beban kerja juruterbang. Dalam latihan IFR atau cuaca mencabar, ciri seperti ini memberi ruang kepada pelatih dan jurulatih untuk mengurus penerbangan dengan lebih terkawal. Sistem ini bukan sahaja membolehkan penerbangan terapung automatik yang jitu, malah menyediakan jaringan keselamatan tinggi bagi mengelakkan disorientasi ruang udara semasa latihan dalam cuaca buruk.
Enjin Berkembar dan Margin keselamatan latihan

Pemilihan H135 juga mencerminkan kecenderungan beberapa angkatan tentera menggunakan platform enjin berkembar untuk latihan helikopter. Menurut Airbus, keluarga H135 mempunyai lebih 1,600 pesawat yang dihantar kepada lebih 325, manakala lebih 200 helikopter keluarga H135 telah dihantar atau dipesan untuk misi latihan ketenteraan.
Sebagai helikopter enjin berkembar, H135 memberi margin keselamatan tambahan dalam latihan melalui keupayaan mengendalikan senario One Engine Inoperative (OEI). Jika satu enjin mengalami masalah mekanikal simulasi atau sebenar semasa latihan, enjin kedua membolehkan juruterbang mengekalkan kawalan penerbangan dalam parameter yang ditetapkan dan melaksanakan prosedur kecemasan dengan lebih selamat.
Reka bentuk rotor ekor tertutup Fenestron pula membantu mengurangkan pendedahan bilah rotor ekor kepada pelatih dan kru darat. Dalam persekitaran latihan yang kerap melibatkan pergerakan pelatih, jurulatih dan petugas penyelenggaraan, ciri ini memberi nilai keselamatan di darat selain mengurangkan pencemaran bunyi akustik.
Transisi ke helikopter opeasi

Matlamat utama helikopter latihan ialah menyediakan pelatih untuk beralih kepada platform operasi yang lebih kompleks, termasuk helikopter taktikal dan pengangkutan. Di sinilah CT-153 Juno memainkan peranan sebagai jambatan antara latihan asas dengan tuntutan skuadron operasi.
Airbus menyatakan Helionix pada Juno menyokong peralihan lebih lancar kepada pesawat yang lebih besar dan kompleks. Hal ini kerana, pelatih lebih awal disediakan kepada kokpit kaca (glass cockpit), pengurusan sistem dan logik bantuan penerbangan yang menjadi ciri banyak platform moden.
Pengalaman mengurus kokpit digital, koordinasi kru dan prosedur enjin berkembar dalam Juno boleh mengurangkan lengkung pembelajaran apabila pelatih berpindah ke latihan operasi. Namun, mereka tetap perlu menjalani latihan penukaran jenis dan latihan khusus mengikut platform yang bakal dikendalikan.
Nilai Industri Tempatan

Satu lagi dimensi penting projek CT-153 Juno ini berjaya ialah penglibatan industri tempatan Kanada. Helikopter H135 untuk RCAF disiapkan, disesuaikan dan dihantar terus dari kemudahan Airbus Helicopters di Fort Erie, Ontario.
Di fasiliti itu, pesawat disesuaikan dengan beberapa Supplemental Type Certificates (STC) yang dibangunkan oleh Kanada, termasuk pengubahsuaian kepada suite avionik, sistem komunikasi, dan pembangunan kokpit secara tersuai.
Presiden Airbus Helicopters di Kanada, Dwayne Charette, berkata penghantaran pertama itu menunjukkan keupayaan yang dapat disediakan di Kanada serta komitmen jangka panjang Airbus untuk menyokong pertahanan negara itu melalui kepakaran tempatan.
Dengan baki penghantaran pesawat yang dijadualkan berterusan sehingga tahun 2028, nilai sebenar CT-153 Juno bukan hanya pada pesawat pertama yang diterima. Lebih penting, ia menandakan usaha Kanada membina ekosistem latihan helikopter yang lebih moden, lebih selamat dan lebih hampir dengan tuntutan operasi masa depan. -airtimes.my
