Home Teknologi PertahananKAAV-II: Evolusi amfibi Korea Selatan mendepani ancaman pesisir moden

KAAV-II: Evolusi amfibi Korea Selatan mendepani ancaman pesisir moden

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Krisis ancaman keselamatan di Semenanjung Korea dan Asia Timur Laut semakin dipengaruhi ancaman pesisir melibatkan artileri, peluru berpandu anti-kapal, dron, dan sistem anti-perisai. Keadaan ini mendorong Kor Marin Korea Selatan (ROKMC) menilai semula keperluan operasi amfibi mereka, khususnya apabila pendaratan konvensional semakin berisiko di kawasan pantai yang dipertahankan dengan ketat.

Dalam konteks itu, KAAV-II bukan sekadar pengganti kepada Korean Amphibious Assault Vehicle (KAAV) sedia ada. Ia adalah percubaan Korea Selatan membina kenderaan serangan amfibi generasi baharu yang lebih pantas di air, lebih bersenjata serta sesuai untuk operasi “di luar ufuk” atau over-the-horizon. Melalui konsep ini, kenderaan amfibi boleh dilancarkan dari jarak lebih jauh oleh kapal serangan amfibi bagi mengurangkan tempoh pendedahan kepada ancaman pesisir.

Menyedari hakikat ini, program Amphibious Assault Vehicle-II berada dalam kerangka pembangunan jangka panjang dari 2018 hingga 2036. Laporan pertahanan terbuka pula menyebut konsep KAAV-II telah dimulakan sejak tahun 2015, dengan Hanwha Aerospace sebagai pembangun industri utama. Sasaran semasa ialah bagi menyelesaikan pembangunan sekitar 2028 sebelum pengeluaran bersiri dirancang bermula pada 2029.

Reka bentuk dua alam

Dari sudut reka bentuk, KAAV-II memperlihatkan perubahan besar berbanding KAAV lama yang berasaskan keluarga AAV7. Beberapa cirinya mengingatkan pemerhati pertahanan kepada Expeditionary Fighting Vehicle (EFV) Amerika Syarikat yang dibatalkan pada tahun 2011, terutama pada geometri haluan dan pembentukan hidrodinamik untuk kelajuan tinggi di air.

Berdasarkan imej prototaip yang dipertontonkan secara terbuka, KAAV-II menggunakan badan berbentuk kotak, glacis condong rendah dan profil haluan untuk membantu pergerakan di air. Bahagian bumbungnya direka rata pula memberi ruang kepada pemasangan turret tanpa pemandu dan membantu kestabilan kenderaan.

Bagi mobiliti darat, setiap sisi KAAV-II dilengkapi dengan tujuh roda pada setiap sisi serta trek getah komposit (Composite Rubber Tracks – CRT) demi kelancaran optimum. Ia lazimnya dikaitkan bagi mengurangkan berat, bunyi dan getaran. Namun angka kelajuan darat perlu ditulis berhati-hati kerana laporan terbuka berbeza, dengan sebahagian menyebut sekitar 70 kilometer sejam dan sebahagian lain meletakkan unjuran lebih tinggi.

Kelajuan air sebagai keperluan operasi

Kekuatan utama KAAV-II terletak pada keupayaan bergerak lebih pantas di air. Kenderaan ini menggunakan konsep badan kapal berkelajuan tinggi yang cuba mengangkat sebahagian struktur di atas permukaan air bagi mengurangkan seretan hidrodinamik. Sebelum memasuki air, bilah haluan atau (bow vane) hidraulik dipanjangkan untuk membantu daya apungan dan aliran air di bahagian hadapan.

Menurut laporan pertahanan terbuka, sistem kuasa KAAV-II menggunakan tetapan berbeza antara operasi darat dan air, dengan output dilaporkan meningkat daripada sekitar 850 kuasa kuda dalam mod amfibi. Angka ini wajar dibaca sebagai maklumat sumber terbuka kerana spesifikasi rasmi penuh belum tersedia secara meluas.

Dari segi kesan operasi, kelajuan air melebihi 20 km/j memberi kelebihan berbanding KAAV lama yang dilaporkan sekitar 13 km/j. Perbezaan ini penting kerana setiap minit di antara kapal serangan amfibi dan pantai ialah tempoh pendedahan kepada tembakan langsung, dron pengintip, peluru berpandu anti-kapal dan sistem anti-perisai.

Dominasi meriam 40mm CTA

Selain mobiliti, KAAV-II turut direka khusus untuk mendepani landskap medan perang alaf baharu. Prototaipnya menampilkan turet tanpa pemandu di bahagian bumbung, membolehkan sistem senjata dikendalikan dari dalam badan kapal, dan mengurangkan pendedahan kru.

Menara ini menampung sebuah meriam automatik kaliber 40mm yang menggunakan konsep Cased Telescoped Ammunition (CTA). Dalam sistem CTA, projektil peluru “dibenamkan” sepenuhnya di dalam kelongsong bahan dorong, menjadikan peluru lebih kompak berbanding reka bentuk konvensional. Kebolehan utama pendekatan ini ialah penjimatan ruang dan pengendalian peluru yang lebih efisien.

Dari segi fungsi, meriam 40mm CTA meningkatkan kecekapan pengendalian senjata berbanding KAAV sedia ada yang bergantung kepada mesingan berat dan pelancar bom tangan automatik. Ia turut dikaitkan dengan peluru letupan tinggi pelbagai guna, penembus perisai, letupan udara boleh atur cara (programmable airburst) dan anti-dron. Keupayaan letupan udara berpotensi membantu menentang dan memusnahkan dron atau infantri di sebalik perlindungan.

Dilema ADD: Menyeimbangkan Kepantasan Teknologi dan Keselamatan Anggota

Di sebalik tumpuan terhadap kelajuan dan kuasa tembakan, pencapaian teknologi yang memukau dunia pertahanan ini, fasa pembangunan KAAV-II terpaksa menempuh cabaran domestik yang amat getir. Pada September 2023, sebuah prototaip kenderaan berperisai yang dikaitkan dengan KAAV-II kehilangan daya apungan lalu karam semasa ujian laut, dan mengorbankan dua kakitangan teknikal Hanwha Aerospace. Insiden itu meletakkan tekanan lebih besar terhadap DAPA, ADD dan pihak industri untuk memperketatkan prosedur ujian maritim.

Tragedi tersebut meletakkan ADD dalam dilema antara mematuhi garis masa pemodenan yang agresif dengan jaminan keselamatan yang mutlak. Aspek seperti margin pengapungan, pengedapan ruang dalaman, prosedur pemindahan kecemasan dan sensor amaran awal kebocoran, menjadi sama penting dengan enjin, turet atau kuasa tembakan.

Ujian sebenar selepas memasuki perkhidmatan

KAAV-II mencerminkan kematangan industri pertahanan Korea Selatan yang sedia beralih daripada pengeluaran berlesen kepada rekan bentuk dan integrasi tempatan. Namun, kejayaan akhirnya tidak boleh diukur melalui prototaip semata-mata. Ujian sebenar hanya bermula apabila pembangunan selesai, pengeluaran bersiri bermula dan kenderaan itu memasuki perkhidmatan ROKMC.

Bagi negara maritim lain, termasuk Malaysia, pembangunan KAAV-II memberi satu pelajaran penting, bahawa operasi amfibi moden kini semakin ditentukan oleh kelajuan, perlindungan, jaringan sensor, ancaman dron dan keupayaan bertahan dalam persekitaran pesisir yang semakin padat senjata. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply