Dalam era peperangan moden, garis sempadan antara dron serangan, munisi merayau (loitering munition) dan peluru berpandu taktikal kini semakin kabur. Sistem yang dahulunya mudah diklasifikasikan sama ada sebagai dron mahupun peluru berpandu kini berevolusi dan berkongsi ciri hibrid yang serupa dengan reka bentuk yang lebih padat, fleksibiliti pelancaran, navigasi berautonomi, jarak jangkauan yang dipertingkat, serta keupayaan gempuran sasaran berketepatan tinggi.
Menyedari evolusi ini, Northrop Grumman telah memperkenalkan Jackal, sebuah sistem terbaharu yang direka khusus untuk mengisi ruang antara kedua-dua teknologi berkenaan. Walaupun ia bukan peluru berpandu besar seperti Precision Strike Missile atau PrSM Lockheed Martin yang digunakan untuk tembakan jarak jauh darat ke darat.
Sebaliknya, Jackal merupakan peluru berpandu serangan tepat kelas ringan yang berfungsi sebagai sistem hibrid yang menggabungkan keupayaan munisi merayau berkelajuan tinggi, dron serangan sehala, dan peluru berpandu jelajah taktikal berskala kecil.
Menegaskan keupayaan versatil sistem ini, Northrop Grumman meletakkan Jackal sebagai peluru berpandu serangan tepat berkuasa turbojet yang direka khusus untuk dilancarkan merentasi pelbagai domain, sama ada dari platform udara, darat mahupun maritim.
Apa itu Jackal?
Secara asasnya, Jackal merupakan munisi serangan sehala yang direka khusus untuk menggempur sasaran pada jarak yang lebih jauh berbanding dron taktikal kecil standard. Pada masa yang sama, ia menawarkan saiz dan kos operasi yang dijangka lebih ekonomi berbanding peluru berpandu jelajah konvensional.
Northrop Grumman menyatakan sistem ini mampu mencapai jarak sasaran sekitar 100 kilometer melalui pelancaran permukaan dan 125 kilometer menerusi pelancaran udara, dengan kelajuan pantas melangkaui 400 batu sejam.
Berdasarkan spesifikasi rasmi Northrop Grumman, Jackal beroperasi berkonsepkan lancar dan lupakan atau fire and forget. Sistem persenjataan ini turut dilengkapi keupayaan navigasi pintar untuk beroperasi dalam persekitaran tanpa capaian GPS serta fungsi pengecaman sasaran secara automatik. Dari sudut fizikal, senjata hibrid ini memiliki berat 36.5 kilogram, panjang 1.6 meter, diameter 152 milimeter dan rentang sayap berukuran 1.2 meter.
Selain itu, spesifikasi dan dimensi turut memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan unik Jackal. Saiznya jauh lebih kecil daripada peluru berpandu taktikal bersaiz besar, namun ia dibina dengan struktur yang lebih berat dan sistem yang lebih kompleks berbanding kebanyakan dron serangan komersial yang diubah suai.
Ringkasnya, Jackal merupakan munisi yang melangkaui keupayaan dron kamikaze biasa, namun mempunyai pengkelasan yang berbeza dengan peluru berpandu jelajah penuh dari aspek saiz, jarak jangkauan dan tahap kemusnahan hulu ledak.
Status Terkini Ujian dan Kesiapsiagaan Operasi
Berdasarkan perkembangan semasa sehingga awal Jun 2026, sistem Jackal telah berjaya melengkapkan ujian penerbangan yang kritikal.
Melalui pengumuman yang dibuat oleh Northrop Grumman pada 1 Jun 2026, ujian tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan sistem penerbangan Jackal. Ini merangkumi kemampuan sistem untuk menghidupkan enjin turbojet secara automatik, kelancaran navigasi titik arah berautonomi, kecekapan sistem pendorongan, kawalan autopilot serta keupayaan melakukan manuver pada kelajuan tinggi.

Ujian penerbangan Jackal yang diumumkan Northrop Grumman pada Jun 2026 menjadi penanda kemajuan penting dalam pembangunan peluru berpandu serangan tepat ringan berkuasa turbojet itu. Foto: Northrop Grumman
Selari dengan laporan Defence Industry Europe yang memetik kenyataan Northrop Grumman, ujian berkenaan berjaya mengesahkan keutuhan kerangka udara, sistem pendorongan dan fungsi navigasi. Walau bagaimanapun, pihak pengeluar menegaskan bahawa program pembangunan Jackal masih memerlukan pelbagai siri ujian dan penilaian tambahan sebelum ia benar-benar bersedia untuk digerakkan ke fasa operasi sebenar.
Dari sudut status perkhidmatan, Jackal pada masa ini kekal diklasifikasikan sebagai sistem persenjataan dalam fasa pembangunan dan pengujian. Setakat ini, tiada pengumuman rasmi yang mengesahkan bahawa Jackal telah memasuki perkhidmatan operasi berskala besar, diserapkan ke dalam mana-mana unit ketenteraan tertentu, atau terikat dengan kontrak pengeluaran besar-besaran.
Oleh yang demikian, sistem ini belum mencapai tahap matang sepenuhnya atau terbukti dalam pertempuran, sebaliknya ia merupakan sebuah aset teknologi tinggi yang sedang bergerak ke arah kesiapsiagaan operasi pada masa hadapan.
Di antara Dron Kamikaze dan Peluru Berpandu Jelajah
Nilai taktikal sebenar Jackal terletak pada kemampuannya mengisi ruang pertengahan di antara dua kelas persenjataan utama.
Secara umumnya, munisi merayau mempunyai kelebihan unik untuk berlegar di ruang udara, melakukan tinjauan berterusan dan melancarkan gempuran pantas apabila sasaran dikenal pasti. Namun begitu, majoriti munisi kelas ini beroperasi pada kelajuan yang agak rendah dan jarak yang pendek.
Manakala, peluru berpandu jelajah pula menawarkan kelebihan jarak jangkauan, kelajuan tinggi dan impak kemusnahan yang lebih besar. Walau bagaimanapun, sistem ini lazimnya terikat dengan keperluan platform pelancaran bersaiz besar, kos pengoperasian yang tinggi serta rantaian logistik yang rumit.
Menerusi pembangunan Jackal, Northrop Grumman berjaya menggabungkan kekuatan daripada kedua-dua teknologi berkenaan. Sistem ini direka dengan struktur yang padat, mampu dilancarkan melalui pelbagai platform dan dilengkapi dengan integrasi muatan modular. Kelebihan utama Jackal bersandarkan kepada penggunaan enjin turbojet yang memberikannya kelajuan penerbangan jauh melebihi keupayaan dron serangan standard.
Menurut laporan portal pertahanan The Aviationist, konsep awal Jackal mula diketengahkan ketika Persidangan Industri Pasukan Gerakan Khas pada tahun 2022. Matlamat utama pembangunannya adalah disasarkan khusus untuk merapatkan jurang antara munisi merayau sedia ada di pasaran seperti siri Switchblade 300 dan Switchblade 600, terutamanya dari aspek capaian jarak, tahap kelajuan serta fleksibiliti operasi taktikal.
Fleksibiliti Muatan dan Doktrin Kemusnahan Teragih
Selain daripada kelajuan dan jarak jangkauan, kelebihan strategik Jackal turut didorong oleh reka bentuknya yang mengadaptasi konsep muatan modular (modular payload) dan doktrin kemusnahan teragih (distributed lethality). Konsep ini penting dalam menghadapi persekitaran ancaman tinggi, terutamanya bagi menembusi rangkaian pertahanan udara musuh yang padat atau zon Anti-Akses/Penafian Kawasan (A2/AD).

Jackal digambarkan sebagai peluru berpandu serangan tepat ringan yang boleh dilancar dari kenderaan taktikal, memberi gambaran bagaimana sistem kecil boleh menambah pilihan serangan di medan tempur moden. Foto: Northrop Grumman
Berbeza dengan peluru berpandu tradisional yang tertumpu kepada kemusnahan kinetik semata-mata, Jackal direka untuk membawa muatan sehingga 3 kilogram yang boleh disesuaikan mengikut keperluan misi. Ini bermakna ia bukan sahaja boleh dilengkapi dengan hulu ledak dwi-mod untuk memusnahkan sasaran fizikal, malah berupaya membawa pakej Peperangan Elektronik (EW) atau sistem Tinjauan dan Pengawasan (ISR).
Lebih menarik, enjin turbojet Jackal mampu menjana kuasa dalamannya sendiri semasa dalam penerbangan, membolehkan kelengkapan EW beroperasi secara optimum di ruang udara musuh.
Dari sudut atur gerak, saiz Jackal membolehkan pelancaran dilakukan daripada platform yang lebih kecil dalam sesetengah misi. Northrop menyatakan sehingga lapan kanister pelancar boleh dipasang pada platform kenderaan ringan.
Ini boleh memberi pilihan serangan yang lebih fleksibel kepada pasukan tentera, namun nilai sebenar pendekatan ini tetap bergantung kepada kos, latihan, integrasi, penyelenggaraan dan prestasi dalam operasi sebenar.
Mendefinisikan Semula Landskap Medan Tempur
Kesimpulannnya, Jackal penting bukan kerana ia sudah terbukti sebagai senjata yang mengubah medan perang, tetapi kerana ia menunjukkan arah baharu pembangunan senjata serangan tepat ringan. Sistem seperti ini menggabungkan saiz kecil, kelajuan tinggi, muatan modular dan pelancaran pelbagai platform dalam satu pakej yang lebih padat.
Namun, nilainya masih bergantung kepada perkara yang belum dapat dinilai sepenuhnya melalui sumber terbuka: kos sebenar, kadar pengeluaran, integrasi dengan sistem perintah dan kawalan, ketahanan terhadap gangguan elektronik, serta prestasi dalam operasi sebenar.
Bagi pembaca umum, Jackal wajar dilihat sebagai petunjuk perubahan. Masa depan serangan tepat mungkin tidak hanya dibentuk oleh peluru berpandu besar dan mahal, tetapi juga oleh sistem kecil yang lebih pantas, lebih fleksibel dan lebih mudah digerakkan. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana angkatan tentera moden bersedia mengesan, menangkis dan menyesuaikan diri dengan ancaman seperti ini.-airtimes.my
