Home Pertahanan dan KeselamatanProjek LCS: Bukan sekadar siap kapal, tetapi isu kedaulatan tempur

Projek LCS: Bukan sekadar siap kapal, tetapi isu kedaulatan tempur

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Projek Littoral Combat Ship (LCS) kini bukan lagi sekadar isu kelewatan pembinaan, tetapi telah menjadi ujian yang menyentuh tiga perkara besar iaitu kemajuan fizikal, penggunaan dana awam dan keupayaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sehingga 31 Mei 2026, projek strategik ini mencatat perbelanjaan sebanyak RM8.457 bilion yang bersamaan 76.2 peratus daripada nilai keseluruhan projek. Dari segi fizikal, projek mencapai 78.1 peratus berbanding sasaran 85.21 peratus, sekali gus menunjukkan wujudnya jurang kelewatan sebanyak 7.11 peratus.

Sebagai kapal tempur pesisir yang dirancang untuk peperangan anti kapal selam, anti – udara, elektronik dan operasi permukaan, setiap kelewatan membawa implikasi besar. Situasi ini menjadi semakin rumit ekoran keputusan  Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

Pembatalan NSM dan jurang keupayaan

Sistem NSM merupakan peluru berpandu anti-kapal yang penting untuk melengkapkan keupayaan serangan permukaan LCS. Walaupun Kementerian Pertahanan menyatakan pembatalan lesen eksport ini tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS).  kehilangan sistem ini memberi kesan besar kepada konfigurasi tempur operasi.

Kapal LCS masih memiliki keupayaan lain seperti peperangan anti kapal selam, anti – udara, peperangan elektronik serta Combat Management System. Walau bagaimanapun, keupayaan peperangan anti permukaannya kini menjadi sangat terhad kerana hanya bergantung kepada meriam 57mm yang tidak mampu menggantikan sepenuhnya fungsi peluru berpandu anti-kapal.

Maka, cabaran utama kerajaan adalah mencari penyelesaian teknikal bagi memulihkan jurang Surface-to-Surface Missile (SSM) ini agar kapal yang siap nanti mempunyai keupayaan tempur yang sepadan dengan objektif asal perolehannya.

Pertahanan negara tetap berjalan, tetapi jurang perlu ditutup

Kesiapsiagaan pertahanan tidak boleh diukur melalui tarikh penyerahan fizikal semata-mata sekiranya aset yang diterima tidak dilengkapi keupayaan utama. Walaupun isu NSM berlaku, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih meneruskan operasi mempertahankan perairan, ruang udara dan sempadan negara seperti biasa mengikut kesinambungan sedia ada.

Bagi TLDM, LCS ialah platform penting jangka panjang untuk menggantikan atau melengkapkan aset sedia ada dalam persekitaran maritim yang semakin mencabar dan menuntut daya cegah yang tinggi. Status operasi yang berjalan seperti biasa tidak bermakna jurang keupayaan ini boleh dibiarkan begitu sahaja. Keupayaan baharu mesti diserahkan mengikut tahap yang dijanjikan demi kepentingan pembayar cukai dan komuniti pertahanan negara.

Tuntutan terhadap KDA dan tekanan diplomatik

Isu pembatalan NSM turut membuka dimensi kewangan dan diplomatik yang besar. Pada 18 Mei 2026, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan Notice of Demand kepada Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) dengan tuntutan berjumlah EUR226.1 juta atau RM1.05 bilion.

Tuntutan ini merangkumi kerugian langsung sebanyak EUR129.8 juta bagi bayaran yang telah dibuat untuk perolehan NSM dan dua aset pelancar SSM untuk KD Jebat dan KD Lekiu, serta anggaran kerugian tidak langsung berjumlah EUR96.2 juta atau lebih RM400 juta akibat pembatalan tersebut.

Pada masa sama, oleh sebab isu ini berpunca daripada keputusan unilateral kerajaan asing, Malaysia turut menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan daripada Norway. Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, telah menyampaikan pendirian tegas negara kepada Menteri Pertahanan Norway di Singapura pada 31 Mei 2026, selain mendesak kerajaan Norway bertindak sebagai pengantara antara Malaysia dan KDA agar kesan keputusan politik negara luar tidak ditanggung sendiri oleh Malaysia sebagai pelanggan.

Ujian sebenar pengurusan perolehan

Pengurusan projek LCS kini berhadapan dengan tiga cabaran utama yang bergerak serentak. kerajaan perlu memastikan kapal-kapal LCS disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan, di samping memulihkan semula keupayaan peluru berpandu anti-kapal yang terjejas serta mempertahankan untutan kewangan negara agar rakyat tidak menanggung kerugian akibat pembatalan pihak ketiga.

Sebarang kegagalan dalam menyelesaikan isu keupayaan tempur atau kewangan ini akan menimbulkan persoalan operasi yang berpanjangan, implikasi kos tambahan pada nilai keseluruhan projek, serta beban politik dan diplomatik.

Ukuran kejayaan projek LCS tidak lagi bersandarkan kepada penyerahan fizikal kapal di limbungan semata-mata, melainkan keupayaan TLDM menerima kapal yang lengkap, berfungsi sepenuhnya, memenuhi keperluan operasi serta dilindungi oleh kontrak yang menguntungkan kepentingan negara dan wang awam. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply