Home Pertahanan dan Keselamatan241 pelatih tamat Kursus Asas Pasukan Gerakan Am Siri 01/2026

241 pelatih tamat Kursus Asas Pasukan Gerakan Am Siri 01/2026

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

ULU KINTA, 3 JULAI – Seramai 241 peserta berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis Siri 01/2026 selepas mengikuti latihan intensif selama hampir tiga bulan.

Daripada jumlah itu, seramai 57 ialah Pegawai Kanan Polis manakala 184 lagi Pegawai Rendah Polis termasuk lima wanita.

Dikendalikan oleh Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, kursus ini sarat dengan latihan mencabar bagi membentuk seseorang sebagai anggota PGA terlatih itu berlangsung dari 6 April hingga 2 Julai.

Sepanjang kursus, peserta dididik agar berdisiplin, berintegriti, cekal serta sentiasa bersedia melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Mereka turut menjalani pelbagai modul latihan yang ketat dan mencabar termasuk latihan ikhtiar hidup.

Antara kemahiran yang mesti dikuasai sebagai pegawai dan anggota PGA adalah pandu arah/navigasi manakala latihan taktikal merangkumi Fighting in Built Up Area (FIBUA), Counter Insurgency Warfare (CIW) dan teknik rappelling.

Peserta juga dilatih dalam pengendalian rusuhan serta operasi ketenteraman awam menerusi modul Public Order Riot Unit (PORU).

Selain itu, aspek ketahanan fizikal dan mental diperkukuhkan menerusi latihan merentas desa, halangan dan aktiviti lasak.

Terdahulu, majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Komisioner Polis Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri.

Upacara penutupan latihan telah diadakan di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA Ulu Kinta.

Ia menandakan berakhirnya latihan sebagai persediaan peserta menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai warga PGA.

Acara kemuncak kursus menyaksikan demonstrasi keupayaan peserta melibatkan jerangkap samar, PORU, FIBUA, CIW serta operasi rappelling search and rescue.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohd Yusri mengucapkan tahniah kepada semua peserta serta merakamkan penghargaan Pusat Latihan PGA atas komitmen melatih anggota dari aspek mental dan fizikal.

Beliau kemudian turut menyampaikan anugerah kepada pegawai dan anggota yang mencatat kejayaan dalam kursus.

Anugerah keseluruhan terbaik bagi kategori Pegawai Kanan Polis diterima Insp Mohd Azrudin Mohd dari Batalion 16 PGA Kinarut, Sabah, manakala kategori Pegawai Rendah Polis disandang Lkpl Mohd Asyraf Safari dari 69 Komando Ulu Kinta, Perak.

Kursus Asas PGA merupakan permulaan dalam melahirkan anggota infantri PDRM yang kompeten, profesional dan berkeupayaan tinggi bagi menghadapi cabaran keselamatan negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply