Home Pertahanan dan KeselamatanTDM tegaskan dakwaan tular terhadap anggota bercanggah dengan fakta

TDM tegaskan dakwaan tular terhadap anggota bercanggah dengan fakta

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan bahawa setiap dakwaan membabitkan anggotanya perlu dikemukakan melalui saluran sah supaya siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus serta mengikut lunas undang undang.

TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius penularan dakwaan di media sosial yang didakwa berunsur fitnah, tidak berasas serta berpotensi menjejaskan reputasi anggota, rantaian pemerintahan dan imej organisasi.

Menurut kenyataan itu, isu tular berhubung dakwaan salah laku seksual membabitkan anggota TDM telah berlegar di media sosial sejak 2024.

TDM berkata, siasatan dalaman telah dilaksanakan dan mendapati aduan yang disebarkan melalui platform berkenaan bercanggah dengan fakta sebenar.

“Laporan polis telah dibuat oleh anggota yang terlibat berhubung isu tersebut.

“Pegawai serta anggota terbabit turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut,” menurut kenyataan berkenaan.

TDM turut memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada laporan polis dibuat oleh pengadu berhubung tuduhan jenayah seperti yang didakwa dalam hantaran tular tersebut.

Menurutnya, akaun anonim yang digunakan untuk menyebarkan dakwaan itu juga telah dipadamkan daripada media sosial.

TDM menyifatkan penggunaan media sosial sebagai medium utama untuk membuat tuduhan serius sebagai tindakan tidak profesional, selain boleh mencemarkan imej organisasi sekiranya dakwaan berkenaan tidak disalurkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sewajarnya.

Dalam pada itu, TDM menegaskan bahawa budaya menghukum berdasarkan penularan di media sosial tidak boleh dinormalisasikan.

“TDM akan menggunakan segala instrumen undang undang sivil serta jenayah bagi mengekang gejala ini.

“Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang undang,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply