KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Kementerian Pertahanan mengeluarkan surat notice of demand kepada Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) dengan tuntutan berjumlah 226.1 juta Euro, dianggarkan bersamaan RM1.05 bilion, susulan pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) oleh kerajaan Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan itu dibuat pada 18 Mei 2026 dan meliputi bayaran yang telah dibuat kerajaan Malaysia serta kerugian langsung dan tidak langsung akibat pembatalan lesen eksport berkenaan.
“Jumlah ini bukan sahaja meliputi pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia malah turut mengambil kira kerugian langsung dan tidak langsung yang ditanggung oleh kerajaan akibat pembatalan lesen eksport NSM,” katanya ketika sesi penerangan di Parlimen mengenai pembatalan eksport NSM kepada Malaysia.
Menurut beliau, proses perolehan NSM bermula dengan penilaian teknikal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 2011 sebelum kontrak perolehan dimeterai pada 2018 bagi melengkapkan keupayaan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan untuk kapal Littoral Combat Ship (LCS).
Kontrak itu bernilai 128.7 juta Euro, manakala satu lagi kontrak perolehan dua set pelancar peluru berpandu permukaan-ke-permukaan bagi KD Jebat dan KD Lekiu dimeterai pada 2023 dengan nilai 9.19 juta Euro. Keseluruhan nilai kontrak berjumlah 137.91 juta Euro atau kira-kira RM642.6 juta.
Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi obligasi kontrak dengan pembayaran kepada KDA dibuat mengikut jadual berdasarkan kemajuan kerja fizikal yang disahkan sejak 2018 hingga November 2025.
Pembayaran yang dibuat kerajaan, katanya, mencecah 129.8 juta Euro atau lebih RM600 juta, bersamaan 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak. Penghantaran misil itu dijadualkan tiba di Malaysia pada Mac 2026.
Bagaimanapun, KDA pada 4 Februari 2026 memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa kerajaan Norway menggantung lesen eksport bagi kedua-dua kontrak berkenaan tanpa menjelaskan punca penggantungan.
Pada 20 April 2026, Timbalan Menteri Luar Norway memaklumkan kepada Menteri Pertahanan bahawa lesen eksport sistem NSM telah dibatalkan secara kekal dengan alasan Norway hanya akan mengeksport kepada negara NATO dan sekutunya.
KDA kemudian mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Pertahanan pada 22 April 2026 bagi memaklumkan pembatalan itu bersifat kekal dan mengklasifikasikannya sebagai force majeure kerana keputusan tersebut di luar kawalan syarikat berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan akan mempertahankan hak dan kepentingan Malaysia melalui saluran diplomatik serta perundangan.
Tambahnya, kerajaan akan terlebih dahulu berusaha mendapatkan penyelesaian secara baik bersama KDA berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara, dengan rundingan pertama dijadualkan berlangsung pada pertengahan Ogos ini.
“Keutamaan kerajaan adalah penyelesaian yang memberikan hasil terbaik menjimatkan masa dan selari dengan kepentingan negara,” katanya.
Dalam penjelasan lanjut, beliau berkata, pertikaian kontrak akan dirujuk kepada Dispute Resolution Committee yang dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, seorang wakil kerajaan dan seorang wakil syarikat.
Jika mekanisme itu gagal, pertikaian boleh dibawa kepada timbang tara di Malaysia sebelum tindakan mahkamah diambil sekiranya keputusan timbang tara tidak dipatuhi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Norway perlu memainkan peranan kerana pembatalan lesen eksport itu berpunca daripada keputusan kerajaan berkenaan.
Menurutnya, ketiadaan NSM tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS seperti dimaklumkan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS), namun kapal berkenaan hanya mempunyai keupayaan terhad bagi peperangan anti-permukaan melalui meriam 57mm sementara sistem peluru berpandu pengganti dinilai.
Kementerian Pertahanan melalui TLDM kini sedang menilai beberapa sistem peluru berpandu permukaan-ke-permukaan daripada beberapa pengeluar asal peralatan bagi menggantikan NSM.
Penilaian teknikal di peringkat TLDM dan kementerian dijangka siap pada akhir Julai 2026. -airtimes.my
