KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menjalankan kajian dan penilaian terhadap sistem peluru berpandu permukaan-ke-permukaan bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) keluaran Kongsberg Defence & Aerospace (KDA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keupayaan operasi TLDM, khususnya kapal Littoral Combat Ship (LCS), tidak terjejas susulan pembatalan lesen eksport NSM oleh kerajaan Norway.
“Kini TLDM sedang giat menjalankan kajian dan penilaian terhadap sistem surface to surface missile yang mampu menggantikan sistem NSM KDA,” katanya ketika sesi penerangan di Parlimen mengenai pembatalan eksport NSM kepada Malaysia.
Menurut beliau, beberapa pengeluar asal peralatan atau original equipment manufacturer (OEM) dari beberapa negara telah dikenal pasti sebagai berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu baharu bagi menggantikan NSM.
Tambahnya, cadangan dan tawaran daripada syarikat terbabit akan dinilai secara komprehensif berdasarkan keperluan operasi TLDM.
Penilaian itu merangkumi keupayaan sistem untuk disepadukan dengan combat management system kapal LCS, tempoh penghantaran, kos keseluruhan perolehan serta tahap teknologi dan keupayaan operasi yang setanding atau lebih baik berbanding NSM.
“Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, penilaian teknikal di peringkat TLDM dan Mindef dijangka akan siap pada akhir bulan Julai 2026 sebelum diangkat ke peringkat penilaian seterusnya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan ketiadaan NSM tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS seperti dimaklumkan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) kepada Kementerian Pertahanan.
Bagaimanapun, tanpa sistem NSM, keupayaan peperangan anti-permukaan LCS adalah terhad kepada penggunaan meriam 57mm dengan jarak tembakan sekitar 10 kilometer.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan melalui TLDM sedang mengambil segala langkah perlu bagi memastikan keupayaan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan kapal LCS dapat dipulihkan melalui penyelesaian terbaik.
Beliau turut memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus melaksanakan operasi pertahanan seperti biasa, termasuk mempertahankan perairan, ruang udara dan sempadan negara.
Menurutnya, isu pembatalan eksport NSM turut memberi pengajaran kepada Malaysia berhubung risiko kebergantungan terlalu tinggi kepada rantaian bekalan luar negara dalam perolehan pertahanan.
Katanya, penyelesaian jangka panjang bukan sekadar mencari peluru berpandu pengganti, tetapi turut menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan serta pengurangan kebergantungan kepada sumber dan teknologi asing.
Atas sebab itu, kerajaan sedang mempergiatkan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi memperkasa keupayaan dan kapasiti industri pertahanan tempatan, termasuk dalam bidang pengeluaran roket dan peluru berpandu. -airtimes.my
