IPOH, 7 JULAI – Kem Sultan Nazrin Shah di Ulu Kinta yang merupakan markas pasukan khusus 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dirasmikan dengan penuh adat kepolisan.
Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando merupakan satu projek pembangunan strategik yang dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan operasi serta latihan 69 Komando.
Kem ini dibangunkan sebagai pusat pentadbiran dan latihan holistik yang moden.
Ini selaras dengan keperluan semasa dalam menghadapi spektrum ancaman asimetrik serta cabaran keselamatan kontemporari negara.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan kem tersebut yang juga miliki kemudahan latihan komando termoden.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.

Sebagai sebuah kem dwifungsi yang menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan, Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando dilengkapi dengan prasarana latihan moden bertaraf dunia.
Ia menyediakan fasiliti latihan yang komprehensif meliputi Kompleks Latihan Para, kemudahan latihan payung terjun, CQB house, lapang sasar tertutup (indoor ekar shooting) serta lapang sasar jarak pendek dan sederhana.
Kem ini memiliki Lapang Sasar 1.2 Kilometer iaitu lapang sasar terpanjang di Malaysia.
Kemudahan ini digunakan secara eksklusif untuk latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat (sniper) jarak jauh oleh 69 Komando.
Selain itu, kem ini turut dilengkapi dengan Kolam Renang Taktikal bagi latihan selam, menjadikannya sebuah pusat latihan serba moden untuk memantapkan kemahiran khusus anggota 69 Komando.
Nilai keseluruhan projek kem ini sebanyak RM206 juta menjadi manifestasi nyata terhadap komitmen kerajaan dalam memperkasakan keupayaan pasukan keselamatan negara.
Kem berkeluasan keseluruhan 836 ekar ini terletak bersebelahan Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta, Perak.
Daripada keseluruhan keluasan itu, kira-kira 215 ekar daripadanya telah diperuntukkan bagi fasa pembangunan.
Fasa pembinaan kem ini telah digerakkan secara rasmi pada 30 April 2018 dan siap sepenuhnya pada 3 Februari 2023.
Kem ini seterusnya diserahkan kepada PDRM pada 4 Mei 2024 dalam satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ini sekali gus menandakan pengoperasian rasmi kem ini sebagai pusat pentadbiran dan latihan utama 69 Komando.
Sejak penubuhannya pada tahun 1969, pasukan 69 Komando ditempatkan di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta, Perak.
Sepanjang tempoh tersebut, pasukan ini beroperasi dengan berkongsi prasarana sedia ada tanpa memiliki kem khusus sendiri.
Tahun demi tahun, keperluan terhadap sebuah kem yang lengkap dan komprehensif menjadi semakin mendesak.
Seiring dengan perkembangan peranan 69 Komando sebagai pasukan multi-spektrum yang menguasai kemahiran di darat, udara dan maritim.
Sehubungan itu kerajaan telah meluluskan projek pembinaan kem baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Rolling Plan 4).
Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana utama, manakala Pembinaan Sujaman Sdn. Bhd. dilantik sebagai kontraktor utama.
Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando menjadi simbol keupayaan, kesiapsiagaan dan kecemerlangan 69 Komando dalam mempertahankan keselamatan negara.
Penamaan Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando ini merupakan manifestasi agung menjunjung kasih.
Ia melambangkan taat setia yang tidak berbelah bahagi dan penghormatan tertinggi seluruh warga 69 Komando ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. -airtimes.my
