KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kerajaan telah memuktamadkan beberapa langkah lanjut yang akan dilaksanakan demi mengembalikan maruah serta kedaulatan negara berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia dimuktamadkan selepas kerajaan selesai meneliti beberapa perkara, terutama membabitkan isu persempadanan maritim Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah membentangkan laporan berkaitannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan,
“Pasukan Petugas Khas turut mengadakan siri perbincangan dan mesyuarat serta lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, pasukan itu juga telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil merangkumi aspek undang-undang, tort of misfeasance dan hubungan Malaysia-Singapura.
Walaupun tidak memperincikan langkah yang akan dilaksanakan, Wan Junaidi menegaskan bahawa penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian dan pemerhatian ahli pasukan itu.
“Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini,
“Ia juga menyokong dasar luar negara iaitu antara lainnya, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keselamatan Malaysia,” ujarnya.
Laporan tersebut disediakan dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 Nov 2021 sehingga 30 Ogos lepas.
Pada 29 Okt tahun lepas, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.
Pasukan Petugas Khas ini telah dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam tempatan, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.-airtimes.my