Home Semasa MARA tidak berkompromi salah laku pelajar MRSM

MARA tidak berkompromi salah laku pelajar MRSM

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 10 Dis – Siasatan akan dijalankan oleh pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung satu video tular memaparkan kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihak MARA memandang serius berkaitan isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar.

“Pihak MARA juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan,

“Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau telah mengarahkan polis Kuala Kangsar untuk menjalankan siasatan ekoran kejadian itu didakwa berlaku di sebuah sekolah di sana.

Katanya, sebarang maklumat mengenai kes tersebut akan dimaklumkan kepada media dalam masa terdekat.

Terdahulu tular sebuah video di media sosial yang memaparkan tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar di sebuah asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain beramai-ramai.

Menerusi beberapa video yang berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta untuk berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan buli berkenaan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply