KUALA LUMPUR, 21 NOV – Pemilihan jurulatih berkualiti tinggi dan berintegriti disifatkan sebagai langkah utama dalam membanteras budaya buli dalam Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Leftenan Jeneral Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ibrahim berkata, hanya jurulatih yang memahami tanggungjawab kejurulatihan secara mendalam mampu mengawasi pelatih dengan baik sekaligus mengurangkan gejala buli.
“Kita memerlukan jurulatih yang benar-benar menjiwai prinsip kejurulatihan. Bila mereka memahami dan menghayati peranan mereka, barulah pengawasan terhadap pelatih dapat dilakukan dengan betul.
“Jika ini dipatuhi, insya-Allah, insiden buli dapat dielakkan,” jelasnya kepada Airtimes.
Tambah beliau, tanggungjawab seorang jurulatih tidak terhad kepada waktu kerja sahaja, malah peranan mereka turut merangkumi pemantauan di luar waktu pejabat, termasuk pada waktu malam, hari cuti, dan hujung minggu.
“Komitmen menyeluruh ini diperlukan bagi memastikan pelatih sentiasa berada di bawah pengawasan yang berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Coffee Talk bertajuk “Buli di ALK: Penyakit Sosial, Mencalar Imej dan Keyakinan Ibu Bapa” anjuran RAFOC di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Rabu.

Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Leftenan Jeneral Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ibrahim. (Foto: Izzat)
Mengulas lanjut, Abdul Aziz menegaskan, budaya buli bukanlah berpunca daripada mentaliti hierarki semata-mata, namun turut dipengaruhi sikap individu dan kurangnya pengawasan.
Tegasnya, sikap ego yang menguasai pemikiran individu sering kali menghapuskan sifat rasional, sekaligus mendorong kepada perlakuan buli.
“Ini bukannya kerana mentaliti hierarki dan sebagainya tetapi individu itu sendiri. Benda ni akan menjadi lebih teruk bila tidak ada pemantauan.
“Dalam peringkat umur 18 hingga 22 tahun, peringkat ini memang orang kata masih berada dalam proses pembelajaran lagi. Nak lepas macam tu tak boleh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa melatih anggota tentera memerlukan pendekatan berbeza daripada pendidikan biasa memandangkan latihan ketenteraan lebih lasak dan unik.
Dalam pada itu, sesi Coffee Talk anjuran RAFOC tersebut berjaya menghimpunkan seramai 38 peserta terdiri daripada bekas pegawai tentera.
Mereka berkongsi pandangan dan pengalaman bagi merangka resolusi yang komprehensif dan lebih realistik untuk dibawa kepada pihak bertanggungjawab sebagai usaha menangani isu buli secara menyeluruh. – airtimes.my
#Buli #ALK #Veteren #RAFOC #ATM #Airtimes