KUALA LUMPUR, 25 Jul – Perubahan landskap geopolitik dan geostrategi serta kekangan kewangan termasuk cabaran dalam industri menyebabkan penjajaran terhadap Pelan Transformasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 15to5 perlu dilakukan semula.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, beberapa inisiatif baharu telah diwujudkan dalam plan tersebut bagi meningkatkan keupayaan tempur dan memastikan kesiapsiagaan TLDM berada dalam tahap tertinggi.
Selain itu, beliau berkata, penjajaran tersebut juga akan menjadikan TLDM sebagai angkatan laut yang kredibel di mata dunia.
“Melalui plan ini juga TLDM telah memperkasakan sistem keselamatan maritim melibatkan sempadan wilayah Sabah dan melalui peruntukan kewangan yang telah diluluskan,
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, (RMKe-11) dan RMKe12, TLDM telah berjaya peroleh 4 buah Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch Pertama, 3 buah Helikopter Operasi Maritim dan 19 bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft, FIC),
“Kesemua 4 kapal LMS Batch Pertama dan Helikopter Operasi Maritim ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, di Kota Kinabalu,” kata Timbalan Menteri Pertahanan ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Noraini Idris di Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Noraini mengemukakan persoalan kepada Timbalan Menteri Pertahanan berhubung bagaimanakah Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 berupaya memperkukuh sistem keselamatan maritim yang melibatkan sempadan wilayah Sabah dan berapakah anggaran perbelanjaan dalam pengurusan tersebut.
“Dalam masa yang sama, usaha memperkasa Armada TLDM oleh plan ini diteruskan dengan menterainya perjanjian perolehan 3 buah kapal LMS Batch Kedua (LMSB2) dengan syarikat STM dari Turkiye baru-baru ini secara Government to Government (Kerajaan kepada Kerajaan G2G),
“Ia adalah antara perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui sistem perolehan aset pertahanan melalui G2G bagi memastikan plan stategi untuk mendapatkan aset pertahanan ini dapat kita laksanakan seperti mana yang telah kita rancang,
“Secara keseluruhannya, kesemua perolehan aset strategik TLDM di bawah RMKe-13 sehingga tahun 2030 dianggarkan berjumlah RM10 hingga 11 bilion,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Adly ketika Perbahasan Penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat turut memaklumkan, rancangan perolehan aset baharu TLDM dijangka akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM10 bilion untuk tempoh RMKe-13.
Menurut beliau, perolehan LMSB2 yang dilakukan oleh kerajaan pada Jun lalu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan armada TLDM.
“Di bawah RMKe-13 pula, usaha memperkasakan armada TLDM diteruskan dengan termeterainya perjanjian perolehan bagi 3 buah kapal LMSB2 dengan negara Turkiye baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat pada 10 Julai lalu. -airtimes.my
#TLDM #transformasi #pertahanan #airtimes #Malaysia