Home Pertahanan dan KeselamatanTentera DaratInovasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan – Panglima Tentera Darat

Inovasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan – Panglima Tentera Darat

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 OKT – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan bahawa inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam memastikan angkatan darat kekal tangkas, moden dan relevan menghadapi cabaran masa hadapan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kemampuan berinovasi merupakan kunci kekuatan sesebuah pasukan dan perlu diterapkan di setiap peringkat organisasi.

“Dalam dunia yang pantas berubah, keupayaan berinovasi adalah kunci kekuatan sesebuah angkatan. Tentera yang moden perlu tangkas, adaptif dan berteraskan ilmu. Inovasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan operasi dan survival,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Tentera Darat Tahun 2024 di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD, pada Rabu.

Beliau menegaskan, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian anggota, tetapi manifestasi kepada budaya inovasi dan kreativiti yang semakin berkembang dalam organisasi ketenteraan.

Tema majlis tahun ini, “Artificial Intelligence: Catalyst for a Smarter Army”, katanya, bertepatan dengan arus transformasi global yang menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras kekuatan pertahanan moden.

“AI kini menjadi aset strategik yang dimanfaatkan oleh angkatan tentera di seluruh dunia bagi memperkukuh risikan, logistik, sistem senjata pintar dan kecekapan operasi. The army that innovates today is the army that secures sovereignty tomorrow,” ujarnya.

Majlis Anugerah Inovasi tahun ini turut menyerlahkan pencapaian membanggakan apabila TDM memenangi tujuh daripada 14 projek inovasi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta empat kejuaraan di peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Lebih membanggakan, Leftenan (PKW) Ts. Mohamad Hanafi Salam yang mewakili pasukan inovasi MINDEF di Indonesia Inventors Day (IID) 2025, berjaya meraih pingat emas dan perak menerusi inovasi FEWP 2.0 (Free Energy Water Pump) – sebuah pam air tanpa tenaga elektrik yang mesra alam dan efisien.

“Kejayaan ini membuktikan kemampuan warga Tentera Darat bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi bukti bahawa kita bukan sahaja unggul dalam ketenteraan, tetapi juga dalam sains dan teknologi pertahanan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan teknologi berasaskan AI perlu menjadi keutamaan dalam Pelan Tindakan Angkatan Masa Hadapan (Domain Daratan) bagi memastikan TDM kekal di hadapan dalam revolusi teknologi global.

Menurutnya, empat tumpuan utama dikenal pasti bagi memperkukuh keupayaan Tentera Darat melalui inovasi, iaitu pembangunan doktrin dan latihan berpandukan data (data-driven training), sistem penilaian pintar, penyelenggaraan prediktif (predictive maintenance) serta analitik pintar untuk keputusan operasi.

“Teknologi hanyalah alat, tetapi manusia adalah pemangkin sebenar inovasi. Kita perlu melahirkan warga Tentera Darat yang bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta solusi,” tegasnya.

Dalam ucapannya juga, Panglima Tentera Darat memuji kejayaan beberapa produk ciptaan warga TDM seperti Spider Heavy Wheel Carrier, Portable Socket Tester (PST) dan alat pengetuk kartus kosong yang kini digunakan dalam perkhidmatan.

Beliau menyeru seluruh warga TDM agar terus memperkukuh budaya inovasi dan menjadikannya sebahagian daripada nilai kerja seharian.

“Semoga semangat inovasi ini terus subur dan menjadi budaya kerja kita semua. We should walk the talk. Dengan komitmen dan usaha gigih, insya-Allah Tentera Darat akan terus cemerlang dan dihormati,” katanya.

Majlis Anugerah Inovasi Tentera Darat Tahun 2024 disifatkan sebagai platform penting bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan teknologi, sekali gus merealisasikan aspirasi Angkatan Masa Hadapan. -airtimes.my

#AirTimes #PertahananKeselamatan #TDM #ATM #Inovasi #KetenteraanModen

Related Articles

Leave a Reply