KUALA LUMPUR, 9 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku warganya susulan isu tular yang dikaitkan dengan kewujudan budaya YEYE yang disifatkan sebagai tidak sihat dalam organisasi tersebut.
Tegas TDM, kepimpinan baharu memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia berpotensi menjejaskan imej, kredibiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi pertahanan negara.
Perkara ini dimaklumkan oleh Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.
TDM akan menjalankan siasatan dalaman secara terperinci terhadap semua aduan yang diterima berkaitan isu berkenaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sekiranya terbukti bersalah mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, TDM memaklumkan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan di semua peringkat pasukan, formasi dan pusat latihan bagi membendung sebarang unsur salah laku serta pelanggaran integriti.
Langkah tersebut akan digerakkan melalui peranan pemerintah unit yang bertanggungjawab memberikan peringatan berkala serta melaksanakan pemantauan berterusan terhadap warga di bawah seliaan masing-masing.
Selain tindakan penguatkuasaan, TDM turut menekankan pendekatan pencegahan melalui pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat perkhidmatan.
Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti keagamaan dan kerohanian juga akan dipertingkatkan bagi membentuk jati diri, disiplin serta profesionalisme warga tentera darat.
TDM menegaskan komitmen berterusan kepimpinan untuk memastikan institusi itu kekal diyakini, dihormati dan mendapat sokongan rakyat, selari dengan peranan pasukan sebagai benteng keselamatan dan kedaulatan negara.
Isu budaya YEYE sebelum ini mencetuskan pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat selepas ia dibangkitkan secara terbuka di media sosial, sekali gus menuntut penjelasan dan pendirian rasmi pihak tentera darat. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #TDM #ATM #Malaysia
