Tidak ramai menyangka penutupan operasi pelabuhan hanya untuk satu hari boleh menyebabkan kerugian negara mencecah berbilion ringgit. Namun itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang banyak bergantung kepada perdagangan laut.
Laluan Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan yang terpenting di dunia. Laluan ini merupakan jalan maritim terpendek yang menghubungkan Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur, menjadikannya nadi utama kepada kelancaran rantaian bekalan global.
Justeru, ribuan kapal dagang singgah di pelabuhan utama Malaysia setiap tahun sebelum meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya.
Dari zaman pelayar Arab dan China yang berlabuh di perairan Melaka, hinggalah ketibaan ribuan kapal kontena hari ini, pelabuhan telah menjadi nadi ekonomi dan penghubung utama negara ini dengan dunia luar.
Malah dalam catatan sejarah, Selat Melaka pernah direkodkan sebagai laluan perdagangan tersibuk dan pelabuhan termaju di Asia Tenggara pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan menarik pedagang dari Arab, India China hingga Eropah untuk berlabuh.
Dalam konteks pada hari ini, pelabuhan moden seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) tidak kurang penting dalam memainkan peranan utama untuk memastikan kelangsungan rantaian bekalan dunia.
Ini kerana, pelabuhan Malaysia bukan hanya tempat keluar masuk barangan, namun juga sebahagian daripada pemacu kepada pelbagai industri lain seperti perkilangan, logistik, peruncitan dan pengangkutan.
Maka, sekali operasi pelabuhan terhenti, kesannya serta-merta. Dianggarkan lebih 60,000 kontena akan tertangguh dalam tempoh 24 jam, menyebabkan kilang-kilang kehabisan bahan mentah, pengilang tidak dapat memenuhi tempahan, kedai kehabisan stok, dan peniaga kecil hilang pelanggan serta pendapatan.
Dalam bidang perubatan pula, bahan mentah farmaseutikal, Active Pharmaceutical Ingredients) (API) yang lazimnya diimport dari India dan China terpaksa dihantar melalui udara, satu alternatif yang jauh lebih mahal dan tidak mampan dalam jangka panjang.
Ubat-ubatan seperti antibiotik, insulin, ubat darah tinggi serta alat perubatan biasanya dihantar secara kargo laut dalam kuantiti besar sebagai stok simpanan hospital dan pusat kesihatan. Gangguan pelabuhan bermakna bekalan ini menjadi sukar, lambat dan lebih mahal.
Keadaan ini juga membuka kemungkinan berulangnya fenomena “panic buying” dalam kalangan pengguna apabila stok tidak mencukupi, mendorong lonjakan harga dan ketegangan sosial.
Menurut Persatuan Logistik Malaysia, sektor logistik dan rantaian bekalan menyumbang lebih 460,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
Ini termasuk pemandu lori, operator kren, kerani gudang dan pekerja lapangan akan terkesan dengan serta-merta jika pelabuhan lumpuh.
Rantaian dagangan global terganggu, pelabur tarik diri
Malaysia merupakan sebahagian daripada ekosistem dagangan global yang bergerak mengikut jadual ketat. Syarikat teknologi di Eropah bergantung kepada cip dari Asia, kilang tekstil di India menunggu kapas dari Afrika dan barangan buatan Malaysia dieksport ke pelbagai pelusuk dunia.
Sebagai contoh, masa penghantaran laut dari India ke pantai barat Amerika Syarikat mengambil sekitar 26 hingga 29 hari melalui pelabuhan Malaysia.
Jika kapal beralih ke Singapura, tempoh penghantaran boleh mencecah 31 hari, manakala melalui Thailand pula, masa boleh meningkat ke 35 hari atau lebih, bergantung kepada laluan yang diambil.
Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi dalam dunia perdagangan global, kelewatan beberapa hari sahaja sudah cukup untuk membatalkan kontrak, dikenakan penalti kelewatan serta kehilangan pelanggan kekal.
Lain tak bukan, ini disebabkan Selat Melaka dilalui oleh lebih 30 peratus dagangan dunia setiap tahun. Kapal-kapal yang melalui Selat Melaka lazimnya berhenti di pelabuhan Malaysia untuk mengisi minyak, mendapatkan bekalan makanan dan air, menukar kru atau menjalani servis kapal.
Namun jika pelabuhan tidak dapat menyediakan perkhidmatan ini, mereka akan memilih pelabuhan lain terutama Singapura yang paling hampir atau Tanjung Priok Indonesia. Ini akan menyebabkan pendapatan negara turut terlepas begitu sahaja.
Isu keselamatan, ancaman senyap di laut
Lebih daripada sekadar pintu dagangan, pelabuhan juga merupakan platform keselamatan strategik bagi negara. Sekali pelabuhan lumpuh, kesiapsiagaan pertahanan turut terjejas, mewujudkan ruang kepada anasir luar mencabar kedaulatan negara.
Ia adalah pangkalan operasi bagi TLDM dan APMM, yang menjalankan rondaan dan pemantauan bagi mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah, pencerobohan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kegiatan pelanunan.
Persoalannya, bukankah rondaan tetap boleh dijalankan walaupun pelabuhan ditutup? Jawapannya, ya namun keberkesanannya akan merosot ketara
Seperti yang dijelaskan dalam Kertas Putih Pertahanan, pelabuhan merupakan komponen penting dalam struktur keselamatan maritim Malaysia.
Tanpa pelabuhan sebagai pusat logistik, isian minyak, tempat berlabuh dan kawalan bersepadu, operasi menjadi terhad dan bersifat jangka pendek.
Rondaan mungkin dipendekkan, penahanan suspek sukar dilakukan, dan pemantauan trafik laut menjadi lebih longgar.
Justeru, Malaysia tidak boleh mengambil risiko berkenaan. Perlu diingatkan, pelabuhan bukan hanya lokasi pemunggahan kontena, namun ianya nadi ekonomi, benteng keselamatan dan simbol kedaulatan sebuah negara.
Penutupan sehari bukan sekadar menunda urusan tetapi berpotensi menggoncang keyakinan pelabur, mengganggu kestabilan ekonomi dan memperlihatkan kelemahan yang mungkin dimanipulasi oleh pesaing serantau. -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #SelatMelaka #Diskusi