Home Semasa Polis tahan 15 remaja ‘lalok’ dalam pesta persendirian

Polis tahan 15 remaja ‘lalok’ dalam pesta persendirian

by Bernama

SHAH ALAM, 8 Ogos – Polis menahan 11 remaja lelaki dan empat remaja perempuan berumur antara 16 hingga 20 tahun dalam satu pesta persendirian dengan sebilangan daripada mereka berada di bawah pengaruh dadah di sebuah unit kondominium mewah, Seksyen 7 di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata hasil dari aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi terbabit, polis telah melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi dan mendapati empat daripada mereka adalah remaja yang masih bersekolah.

“Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3 gram di lokasi kejadian.

Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa serbuan, Baharudin berkata kesemua suspek sedang duduk dan ada yang berada dalam keadaan khayal disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan keletihan selepas berpesta sejak 9 malam.

Baharudin berkata sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard di bawah Perkara 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal yang mana masing-masing dikompaun sebanyak RM2,000.

Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian saringan awal Polis yang dijalankan mendapati seramai lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo manakala tiga suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Baharudin berkata Mahkamah Majistret Shah Alam semalam telah membenarkan reman ke atas mereka yang terlibat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply