KUALA LUMPUR, 23 Jul – Seramai 123 rakyat Malaysia telah selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, jam 11.23 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, Bangladesh untuk pulang ke tanah air.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, kesemua mereka dijangka tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 5.10 petang waktu Malaysia.
Ketibaan mereka akan disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
“Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia telah memutuskan untuk kekal di Bangladesh. Sebahagian daripada mereka adalah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu,
“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu. Pihak suruhanjaya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah menyelaraskan proses ini dengan kerjasama rapat daripada kerajaan Bangladesh,
“Sehubungan itu kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebelum ini Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, seramai 192 rakyat Malaysia berada di Bangladesh membabitkan 124 pelajar, bukan pelajar (58), dan keluarga kakitangan kedutaan (10).
Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi membawa pulang mereka susulan ketegangan di negara berkenaan berlepas pada 7.30 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, di Sepang.
Penerbangan AirAsia menggunakan pesawat Airbus A330 wide body atau badan lebar yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi (waktu tempatan).
Anwar ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 pada Isnin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Beliau berkata, ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.-airtimes.my
#Malaysia #Bangladesh #rusuhan #pesawatkhas #airtimes