BEIJING, 22 Jun – Media rasmi China buat kali pertama telah menyiarkan rakaman pelancaran misil hipersonik DF-17 milik Pasukan Roket Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA Rocket Force), ketika negara itu sedang menonjolkan peningkatan keupayaan sistem peluru berpandu terbaharunya.
Menurut laporan CCTV News, sistem misil generasi baharu itu mempunyai tahap automasi yang lebih tinggi, mobiliti yang lebih baik, ketepatan serangan yang dipertingkatkan, serta keupayaan beroperasi dalam semua keadaan cuaca tanpa bergantung pada infrastruktur tetap.
Rakaman berkenaan memaparkan unit Rocket Force menyertai latihan bersama elemen Tentera Darat dan Tentera Udara di Gurun Gobi, barat laut China. Latihan itu melibatkan beberapa gelombang serangan simulasi dalam keadaan medan yang kompleks, termasuk gangguan elektromagnetik yang kuat dan ancaman serangan tepat.
Menurut laporan itu, unit misil kekal dalam rondaan tempur sepanjang latihan dan mampu menukar mod operasi dengan pantas berdasarkan arahan semasa. Keupayaan itu menunjukkan penekanan Rocket Force terhadap senario tempur yang lebih realistik, operasi pelbagai domain, dan integrasi antara cabang perkhidmatan.
Pengulas ketenteraan, Du Wenlong berkata, rakaman tersebut menandakan kali pertama status pelancaran DF-17 dipaparkan secara terbuka dan mencerminkan tahap kesiagaan tempur Rocket Force yang tinggi.
“Pertama, latihan itu berlangsung dalam keadaan medan sebenar. Hakikat bahawa kenderaan pelancar bergerak merentasi bentuk muka bumi yang kompleks menunjukkan bahawa operasi medan telah menjadi mod asas tempur, bukan lagi operasi ketenteraan di kawasan tetap yang dipilih lebih awal,” katanya kepada CCTV.
Menurut Du, latihan itu juga dilaksanakan dalam senario yang kompleks dan bukan dalam keadaan ideal, sebaliknya melibatkan pelbagai bentuk gangguan.
“Keupayaan untuk melaksanakan misi tempur yang berbeza, melancarkan misil mengikut jadual, dan mencapai serangan yang berkesan dalam keadaan sedemikian merupakan penanda aras penting dalam pembinaan keupayaan tempur,” tambahnya.
CCTV News melaporkan, rantaian perintah bagi sistem misil generasi terbaharu turut diperkemaskan, sekali gus memendekkan masa yang diperlukan untuk menjana kuasa tempur. Penambahbaikan itu membolehkan unit pelancar beroperasi dengan kurangnya kekangan geografi, kedudukan tetap, mahupun cuaca.
Rakaman CCTV menunjukkan pelancaran misil yang kelihatan seperti DF-17, yang dikenal pasti melalui reka bentuk aerodinamik waverider. Misil itu sebelum ini pernah dipamerkan dalam perbarisan ketenteraan di Beijing pada 1 Oktober 2019 dan 3 September 2025.
Laporan saluran ketenteraan CCTV turut menunjukkan sebuah kenderaan pengangkut dan pelancar (transporter erector launcher) yang menyerupai sistem DF-17 sedang menegakkan misil dengan reka bentuk aerodinamik dwikon (bicone) yang belum pernah dilihat sebelum ini.
CCTV News menyatakan bahawa keluarga misil Dongfeng kini membentuk sistem operasi yang pelbagai, dengan jarak dan misi yang saling melengkapi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa sistem yang dibangunkan di dalam negara, termasuk DF-17, DF-26, DF-31, dan DF-61, telah ditempatkan dan kerap dimasukkan dalam latihan. – airtimes.my
