Home DiskusiMRCA selepas 2035: Malaysia perlu pesawat generasi kelima atau kekal 4.5?

MRCA selepas 2035: Malaysia perlu pesawat generasi kelima atau kekal 4.5?

Penggantian Hornet dan Su-30MKM perlu dilihat melalui keperluan sebenar TUDM, dasar pertahanan negara, kos kitar hayat dan perubahan teknologi udara serantau.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Masa depan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas tahun 2035 semakin menjadi perhatian kerana negara bakal berdepan beberapa perubahan penting dalam landskap pertahanan udara.

Armada F/A-18D Hornet dan Su-30MKM yang menjadi tulang belakang keupayaan tempur TUDM ketika ini akan terus berdepan cabaran penuaan dari segi struktur, ketersediaan alat ganti serta peningkatan kos penyelenggaraan bagi memastikan tahap kesiagaan operasi dapat dikekalkan.

Pada masa yang sama, kuasa udara di rantau ini sedang bergerak ke arah penggunaan pesawat tempur yang lebih moden dan berkeupayaan tinggi, disokong oleh rangkaian sensor yang semakin canggih. Perkembangan ini turut menyaksikan penekanan yang lebih besar terhadap peperangan elektronik, penggunaan sistem tanpa pemandu serta pertahanan udara berlapis sebagai komponen utama medan tempur masa hadapan.

Perubahan ini menjadikan perancangan penggantian MRCA sebagai satu keperluan strategik untuk memastikan keupayaan tempur udara negara terus relevan, berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks menjelang pertengahan abad ke-21.

Dalam sidang media sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-68, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris menjelaskan bahawa perancangan 2035 dibuat berdasarkan jangka hayat pesawat, integriti struktur, kebolehselenggaraan dan sokongan kelengkapan.

Beliau turut menyebut bahawa kajian penggantian serta penambahan LCA dan MRCA sudah bermula, tetapi keputusan sama ada Malaysia perlu memilih pesawat generasi 4.5, generasi kelima atau generasi keenam masih menjadi satu “soalan besar” yang perlu dinilai.

2035 bukan tarikh kosmetik

Dalam isu MRCA, 2035 bukan sekadar angka perancangan, ia menandakan tempoh apabila aset sedia ada mula memasuki fasa lebih sukar dari segi kos, alat ganti dan risiko keusangan. F/A-18D Hornet yang diterima Malaysia pada era 1990-an sudah lama melepasi tempoh penggunaan biasa bagi banyak pesawat pejuang moden.

Su-30MKM pula masih berkeupayaan, tetapi pesawat tempur buatan Rusia datang dengan isu tersendiri, termasuk rantaian bekalan, sokongan jangka panjang dan kesan geopolitik terhadap alat ganti.

Panglima TUDM sendiri memberi bayangan bahawa masalah utama bukan semata-mata usia, tetapi sejauh mana pesawat lama masih boleh “dipacu ke hadapan” tanpa menambah beban penyelenggaraan. Pada satu tahap, mengekalkan aset lama boleh menjadi lebih mahal daripada menggantikannya.

Di sinilah perbezaan antara membeli pesawat dan membina keupayaan menjadi penting. TUDM kini sedang membangunkan asas baharu melalui CAP55, termasuk pesawat tempur ringan FA-50M, sistem pesawat tanpa pemandu ANKA, pesawat peronda maritim P-72M dan radar pertahanan udara. MINDEF juga menyatakan 18 FA-50M Malaysia dimuktamadkan pada Mei 2023, dengan penyerahan dijadual bermula pada 2026.

Generasi 4.5 masih relevan, tetapi tidak cukup jika berdiri sendiri

Pesawat generasi 4.5 seperti Rafale, Gripen E, F-15EX, F-16 Block 70/72 atau Eurofighter Typhoon bukan pesawat lama dalam maksud keupayaan. Kebanyakannya mempunyai radar moden, sistem peperangan elektronik, senjata jarak jauh dan kemampuan operasi pelbagai peranan. Thailand, misalnya, telah memilih Saab Gripen E/F sebagai pesawat tempur masa depan, dengan kontrak awal meliputi tiga Gripen E dan satu Gripen F berserta sokongan serta latihan.

Namun, masalah bagi Malaysia ialah pesawat generasi 4.5 tidak boleh dinilai hanya melalui prestasi penerbangan. Yang lebih penting ialah bagaimana ia berhubung dengan radar darat, pesawat amaran awal, dron, sistem pertahanan udara, pusat pemerintahan dan rangkaian komunikasi selamat. Pesawat yang hebat tetapi tidak tersambung kepada ekosistem lebih luas akan menjadi aset mahal dengan nilai terhad.

Bagi negara seperti Malaysia, generasi 4.5 masih boleh menjadi pilihan munasabah jika kos kitar hayat lebih terkawal, latihan lebih mudah, alat ganti terjamin dan integrasi senjata tidak terlalu rumit. Tetapi pilihan itu mesti datang bersama rangkaian sensor, pertahanan udara jarak sederhana, dron ISR dan sistem pemerintahan yang kukuh.

Generasi kelima: kelebihan besar, tetapi bukan jawapan mudah

Pesawat generasi kelima membawa kelebihan utama melalui ciri sukar dikesan, sensor bersepadu dan keupayaan berkongsi data. Singapura sudah bergerak ke arah ini melalui perolehan F-35 dengan MINDEF Singapura menyatakan pesawat F-35 pertama daripada 20 unit yang diperoleh berada di landasan untuk diserahkan pada akhir 2026.

Ini sekaligus akan memberi kesan kepada landskap serantau apabila negara jiran mula mengoperasikan pesawat generasi kelima, standard kesedaran situasi dan operasi udara akan meningkat. Malaysia tidak semestinya perlu meniru pilihan negara lain, tetapi TUDM perlu memastikan jurang teknologi tidak terlalu melebar.

Namun, pesawat generasi kelima juga datang dengan kos tinggi, kawalan eksport yang ketat, keperluan infrastruktur khas, latihan kompleks dan kebergantungan kepada rantaian sokongan luar. Dalam konteks Malaysia, pertimbangan ini lebih penting kerana dasar pertahanan negara bukan bersifat ofensif.

Panglima TUDM turut menegaskan bahawa jika sesuatu pesawat terlalu menonjolkan elemen ofensif, pembeliannya boleh memberi persepsi luaran yang negatif, sedangkan dasar negara ialah pertahanan. Kertas dasar pertahanan Malaysia juga menekankan perlindungan kepentingan dan wilayah negara daripada ancaman dalaman serta luaran, bukan pembinaan keupayaan menyerang sebagai matlamat utama.

Generasi keenam terlalu awal untuk dijadikan sasaran utama

Pesawat generasi keenam sering dikaitkan dengan kecerdasan buatan, dron pengiring, sensor sangat maju, keupayaan halimunan lebih tinggi dan operasi dalam “sistem kepada sistem”. Tetapi kebanyakan program ini masih dalam pembangunan.

Program Global Combat Air Programme (GCAP) oleh United Kingdom, Jepun dan Itali, contohnya, disasarkan memasuki perkhidmatan sekitar 2035, tetapi ia masih projek pembangunan besar dan belum menjadi pilihan pasaran yang matang.

Bagi Malaysia, menjadikan generasi keenam sebagai sasaran langsung selepas 2035 mungkin terlalu berisiko. Kos, akses teknologi, tempoh menunggu dan integrasi boleh menjadi terlalu berat. Lebih realistik, Malaysia perlu memerhati teknologi generasi keenam sebagai hala tuju masa depan, tetapi tidak menjadikannya asas keputusan penggantian pertama Hornet dan Su-30MKM.

Pilihan paling sesuai: bukan label, tetapi padanan misi

Malaysia memerlukan MRCA yang boleh mempertahankan ruang udara, menyokong operasi maritim, beroperasi bersama FA-50M, menggunakan senjata moden, menerima data daripada sensor lain, dan diselenggara tanpa membebankan bajet pertahanan selama 30 hingga 40 tahun. Ia juga perlu cukup berwibawa untuk pencegahan, tetapi tidak dibingkai sebagai aset ofensif yang bercanggah dengan dasar pertahanan negara.

Jika bajet, akses teknologi dan sokongan politik membenarkan, pesawat generasi kelima atau pesawat “hampir generasi kelima” wajar diberi perhatian serius. Jika kekangan kewangan lebih kuat, pesawat generasi 4.5 yang matang, murah diselenggara dan mudah diintegrasi mungkin lebih sesuai. Yang tidak wajar ialah membeli pesawat berprestij tetapi tidak mampu diterbangkan, dilatih dan diselenggara secara konsisten.

Keputusan MRCA selepas 2035 akhirnya perlu menjawab satu soalan mudah melalui pesawat mana yang memberi TUDM keupayaan paling boleh dipercayai untuk mempertahankan ruang udara Malaysia, tanpa membebankan negara dan tanpa mengubah sifat dasar pertahanan Malaysia. Dalam konteks itu, generasi pesawat penting tetapi kesesuaian operasi, kos kitar hayat dan daya tahan sokongan jauh lebih menentukan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply