Peperangan moden tidak lagi bergantung kepada aset besar semata-mata
Dalam peperangan moden, ukuran kekuatan tentera tidak lagi boleh dilihat melalui jumlah kereta kebal, kapal perang atau pesawat tempur semata-mata. Aset besar masih penting, tetapi nilainya semakin bergantung kepada sejauh mana ia disokong oleh sensor, dron, peluru berpandu, pertahanan udara, sistem komunikasi dan keupayaan membuat keputusan.
Perang di Ukraine dan konflik di Timur Tengah menunjukkan perubahan ini dengan jelas bahawa dron murah boleh memantau pergerakan musuh, menyerang sasaran kecil, mengganggu pertahanan udara dan memaksa pihak lawan menggunakan peluru pemintas yang jauh lebih mahal. CSIS merekodkan Russia melancarkan lebih 19,000 peluru berpandu dan dron terhadap Ukraine dari September 2022 hingga Disember 2024, termasuk lebih 14,700 dron serangan sehala.
Perang bukan lagi sekadar siapa memiliki platform paling besar tetapi peperangan hari ini turut ditentukan oleh siapa lebih cepat mengesan sasaran, siapa lebih murah menyerang, siapa lebih bertahan dan siapa mampu menggantikan sistem yang musnah dalam jumlah besar.
Dalam konteks Malaysia, persoalan ini semakin penting apabila Kementerian Pertahanan kini memberi perhatian kepada dron, peluru berpandu, pertahanan udara jarak sederhana, artileri pertahanan udara, kecerdasan buatan, sensor pintar dan sistem tanpa pemandu. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibangunkan sebagai Angkatan Bersepadu Pelbagai Domain Berpusat Rangkaian menjelang 2030, dengan keupayaan merangkumi domain angkasa, siber, kecerdasan buatan, sistem tanpa pemandu dan sensor pintar.
Pengajaran perang Ukraine dan Timur Tengah kepada Malaysia
Pengajaran utama dari Ukraine bukan semata-mata “dron boleh memusnahkan kereta kebal”, tetapi pengajaran lebih besar ialah dron mengubah cara tentera melihat medan perang.
Dron boleh menjadi mata di udara dan boleh memantau pergerakan kecil yang dahulu sukar dikesan serta boleh membantu artileri memilih sasaran. Ia boleh digunakan sebagai senjata serangan murah dan boleh memaksa tentera lawan sentiasa bergerak, bersembunyi atau menggunakan sistem pertahanan yang mahal.
RUSI melaporkan pengeluaran dron Ukraine meningkat daripada anggaran 3,000 hingga 5,000 unit pada 2022 kepada lebih 2.2 juta unit pada 2024, dengan unjuran mencecah 4.5 juta unit pada 2025.Ini menunjukkan satu perubahan penting bahawa dron bukan lagi aset kecil di tepi medan perang, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada sistem tempur utama.
Di Laut Merah dan Teluk Aden, kumpulan Houthi pula menggunakan peluru berpandu, dron udara dan sistem permukaan tanpa pemandu untuk mengganggu laluan perkapalan. IISS menyatakan kempen Houthi sejak November 2023 melibatkan serangan terhadap kapal, tindak balas ketenteraan antarabangsa, kesan ekonomi dan isu penyeludupan komponen senjata ke Yemen.
Malaysia tidak berdepan situasi perang seperti Ukraine atau Laut Merah. Namun, Malaysia ialah negara maritim yang mempunyai kepentingan besar di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu dan perairan Sabah serta Sarawak. Jika dron, peluru berpandu dan serangan murah boleh mengganggu negara besar di tempat lain, Malaysia tidak boleh melihat trend ini sebagai isu luar negara semata-mata.

kumpulan Houthi sering menggunakan peluru berpandu, dron udara dan sistem permukaan tanpa pemandu untuk mengganggu laluan perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden./Foto: Reddit
Isyarat baharu dalam hala tuju MINDEF
Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan memberi petunjuk bahawa Malaysia sedang menilai semula hala tuju pertahanan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030. Portal MINDEF menyatakan Kertas Putih Pertahanan telah diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019 dan berkuat kuasa untuk tempoh 2021 hingga 2030, manakala Kajian Separuh Penggal KPP diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Jun 2025 dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Keselamatan Parlimen pada 8 Oktober 2025.
Perubahan yang disebut oleh MINDEF bukan kecil. Ia bukan sekadar membeli aset baharu. Ia menyentuh cara ATM mahu dibentuk sebagai angkatan yang boleh beroperasi dalam pelbagai domain, termasuk darat, laut, udara, siber, angkasa dan ruang maklumat.
Dalam kenyataan yang dilaporkan media, Mohamed Khaled menyebut keupayaan baharu akan meliputi kecerdasan buatan, sistem tanpa pemandu dan sensor pintar. Beliau turut menyatakan rancangan perolehan termasuk kapal sokongan pelbagai peranan, sistem pertahanan udara jarak sederhana dan artileri pertahanan udara bagi menghadapi ancaman peluru berpandu jarak jauh serta peningkatan penggunaan dron.
Ini penting kerana ia menunjukkan Malaysia mula melihat pertahanan bukan lagi sebagai kumpulan aset berasingan. Kapal, radar, dron, pesawat, sistem pertahanan udara dan pusat kawalan perlu bercakap dalam satu jaringan. Tanpa jaringan itu, aset moden boleh menjadi mahal tetapi tidak cukup berkesan.
Dron: Malaysia sudah mula, tetapi belum agresif dalam UCAV
Malaysia sudah bergerak ke arah penggunaan dron ketenteraan. Antara perkembangan paling jelas ialah perolehan tiga unit sistem pesawat tanpa pemandu aras sederhana berdaya tahan lama, atau MALE-UAS, ANKA dari Turkiye. Bernama melaporkan kontrak bagi tiga unit ANKA MALE-UAS bersama peralatan sokongan berkaitan ditandatangani ketika LIMA pada Mei 2023, dan penghantaran dijangka dibuat dalam kerangka perolehan yang sedang berjalan.
Namun, ada perbezaan besar antara dron pengawasan dengan pesawat tempur tanpa pemandu, atau UCAV. Dron pengawasan membantu melihat, mengesan dan memantau. UCAV pula membawa senjata dan digunakan untuk menyerang sasaran.
Setakat maklumat terbuka yang disemak, Malaysia masih belum boleh digambarkan sebagai agresif dalam penggunaan UCAV. Kementerian Pertahanan mengakui kepentingan dron kamikaze dalam peperangan moden, tetapi Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan menyatakan perolehan semasa tidak termasuk dron kamikaze.
Ini tidak bermaksud Malaysia menolak teknologi itu, Bernama melaporkan MINDEF sedang membangunkan dokumen rasmi berkaitan pembangunan teknologi dron dan anti-dron untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem luar serta membina ekosistem industri pertahanan berteknologi tinggi.
Bezanya, Malaysia kelihatan masih berada pada fasa membina asas dengan memahami keperluan, menyusun dasar, memperoleh platform awal dan melihat ruang industri tempatan. Itu langkah penting, tetapi belum sama dengan perubahan doktrin tempur secara menyeluruh.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baru apabila berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama pesawat tanpa pemandu ANKA-THS di Pangkalan Udara Labuan./Foto: TUDM
Peluru berpandu dan pertahanan laut
Selain dron, satu lagi isyarat penting ialah fokus kepada peluru berpandu, TLDM dilaporkan memperoleh peluru berpandu permukaan-ke-permukaan dan permukaan-ke-udara untuk program Kapal Misi Pesisir Batch 2. NST melaporkan pakej itu melibatkan 24 peluru berpandu permukaan-ke-permukaan dari Roketsan bernilai RM369.30 juta dan 48 peluru berpandu permukaan-ke-udara dari LIG Nex1 bernilai RM372.69 juta.
Surat niat juga dikeluarkan kepada MBDA bagi 29 peluru berpandu permukaan-ke-udara untuk program Kapal Tempur Pesisir bernilai RM504.5 juta.
Perkembangan ini penting kerana kapal moden tidak hanya dinilai melalui saiz kapal. Kapal perlu mempunyai sensor, sistem kawalan tembakan, peluru berpandu, pertahanan diri dan hubungan dengan aset lain. Dalam persekitaran seperti Laut China Selatan, kapal yang tidak mempunyai perlindungan udara dan keupayaan serangan jarak sesuai akan menghadapi kekangan operasi.
Namun, peluru berpandu juga bukan jawapan tunggal kerana mahal, memerlukan latihan, penyelenggaraan, stok, rantaian bekalan dan doktrin penggunaan yang jelas. Jika aset peluru berpandu tidak disambungkan kepada radar, data sasaran dan sistem komando yang baik, keupayaannya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Cabaran pertahanan udara jarak dekat
Dron kecil mencipta cabaran yang berbeza daripada pesawat tempur atau peluru berpandu besar. Ia boleh terbang rendah, murah, sukar dikesan, dan boleh digunakan dalam jumlah banyak. Dron seperti ini tidak semestinya memerlukan teknologi tinggi untuk memberi kesan besar.
Masalahnya, banyak sistem pertahanan udara tradisional dibina untuk menghadapi ancaman lebih besar seperti pesawat, helikopter atau peluru berpandu. Untuk berdepan dron kecil, tentera memerlukan gabungan sensor jarak dekat, peperangan elektronik, meriam, peluru berpandu jarak dekat, sistem anti-dron dan prosedur operasi yang pantas.
RAND menjelaskan bahawa dron komersial murah telah mengubah ketidakseimbangan kos dalam peperangan moden, kerana serangan murah boleh memaksa pihak bertahan menanggung kos lebih besar. Bagi Malaysia, isu ini perlu dilihat secara praktikal. Tidak semua dron perlu ditembak dengan peluru berpandu mahal. Sebahagiannya mungkin perlu ditangani melalui gangguan elektronik, sistem amaran awal, senjata jarak dekat atau pertahanan pasif.
Cabaran lebih besar ialah integrasi, sistem anti-dron tidak boleh berdiri sendiri sebagai alat pameran. Ia perlu dihubungkan dengan pusat kawalan, unit keselamatan pangkalan, pertahanan udara, unit darat dan elemen siber. Jika tidak, dron murah tetap boleh menjadi ancaman mahal.

Sistem Anti-Dron./Foto: Saab
Adakah Malaysia sedang berubah doktrin?
Malaysia menunjukkan tanda perubahan, tetapi belum cukup bukti untuk mengatakan doktrin ATM sudah berubah sepenuhnya.
Perolehan dron, peluru berpandu dan sistem pertahanan udara ialah satu lapisan. Dasar seperti Kertas Putih Pertahanan dan Kajian Separuh Penggal KPP ialah lapisan kedua, tetapi perubahan doktrin memerlukan lebih daripada itu.
Doktrin berubah apabila latihan, struktur unit, cara operasi, logistik, sistem komando, perolehan dan industri bergerak dalam arah yang sama. Sebuah angkatan boleh membeli dron, tetapi masih berfikir dengan cara lama. Sebaliknya, sebuah angkatan yang benar-benar berubah akan menggunakan dron sebagai sebahagian daripada rangkaian operasi, bukan sekadar alat tambahan.
Dalam bahasa mudah, perubahan doktrin berlaku apabila ATM bukan hanya bertanya “aset apa yang perlu dibeli?”, tetapi mula bertanya “bagaimana semua aset ini berfungsi bersama dalam satu medan perang yang pantas, murah dan sukar dijangka”.
Jika dilihat daripada kenyataan MINDEF, Malaysia memang sedang bergerak ke arah itu. Sasaran membina angkatan bersepadu pelbagai domain berpusat rangkaian menjelang 2030 menunjukkan hala tuju yang lebih moden. Namun, tahap pelaksanaan sebenar masih bergantung kepada belanjawan, latihan, integrasi sistem, industri tempatan dan disiplin penyelenggaraan.
Malaysia perlu elak dua kesilapan
Dalam isu dron dan peluru berpandu, Malaysia perlu mengelak dua kesilapan iaitu ialah menganggap teknologi baharu akan menyelesaikan semua masalah. Dron tidak berguna jika tiada latihan, alat ganti, juruterbang, data, perlindungan siber dan sistem komunikasi. Peluru berpandu pula tidak cukup jika tiada sensor dan stok munisi yang mencukupi.
Kesilapan kedua ialah bergerak terlalu perlahan, perang moden berubah dengan cepat kerana sistem yang hari ini dianggap baharu boleh menjadi biasa dalam tempoh singkat.Dron berkelompok dan sistem anti-dron mungkin kelihatan seperti teknologi khas hari ini, tetapi sedang menjadi sebahagian daripada medan perang biasa.
Bagi Malaysia, pendekatan terbaik bukan mengejar semua teknologi secara serentak tetapi menggunakan pendekatan yang lebih berkesan iatu membina lapisan keupayaan melalui pengawasan, dron taktikal, sistem anti-dron, pertahanan udara jarak dekat, peluru berpandu, peperangan elektronik, dan sistem jaringan yang menyatukan semua maklumat. -airtimes.my















