Home DiskusiKa-52 dalam perang Ukraine: Antara kekuatan dan kelemahan

Ka-52 dalam perang Ukraine: Antara kekuatan dan kelemahan

Pengalaman Ukraine menunjukkan Ka-52 masih berbahaya sebagai helikopter serangan, tetapi medan moden yang dipenuhi pertahanan udara, dron dan serangan jarak jauh turut mendedahkan batasnya.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Di mata Rusia, Ka-52 Alligator kelihatan seperti helikopter serangan yang hampir lengkap. Ia lincah, membawa senjata berpandu, mempunyai sensor moden dan dibina untuk menyerang sasaran darat dengan pantas.

Namun, perang Ukraine mengingatkan bahawa kehebatan sesebuah aset tidak ditentukan oleh spesifikasi semata-mata. Di medan sebenar, Ka-52 bukan sahaja membuktikan nilainya sebagai ancaman kepada kenderaan berperisai, tetapi turut menunjukkan bahawa helikopter serangan moden semakin sukar beroperasi tanpa perlindungan, risikan dan taktik yang betul.

Di Ukraine, Ka-52 memperlihatkan dua realiti yang bergerak serentak. Helikopter ini masih mampu memberi tekanan kepada pergerakan kenderaan berperisai, namun pada masa sama ia berdepan ancaman yang semakin padat daripada sistem pertahanan udara jarak dekat, peluru berpandu panggul, dron dan serangan terhadap kawasan operasi belakang.

Dari sasaran mudah kepada ancaman serius

Pada fasa awal perang, penggunaan helikopter serangan Rusia berdepan masalah besar. Penerbangan rendah, koordinasi tidak sempurna dan ruang udara yang dipenuhi ancaman menjadikan helikopter Rusia terdedah kepada pertahanan Ukraine. Namun, laporan Janes yang memetik pegawai NATO Joint Air Power Competence Centre menyatakan Rusia kemudian menyesuaikan taktik dan kelengkapan helikopter serangannya, termasuk Ka-52, Mi-28 dan Mi-24/35.

Perubahan ini penting. Ia menunjukkan bahawa Ka-52 tidak boleh dinilai hanya melalui prestasi awal perang. Seperti banyak aset lain, keberkesanannya berubah apabila taktik, jarak serangan, penggunaan peluru berpandu dan cara sokongan medan disesuaikan.

Selain itu, The War Zone turut melaporkan bahawa Ka-52, yang turut dikenali dalam kod NATO sebagai Hokum, menjadi ancaman antiperisai yang serius kepada Ukraine, khususnya ketika serangan balas Ukraine pada musim panas 2023 dan kemudian di wilayah Kursk. Laporan itu juga merujuk kepada penggunaan peluru berpandu Vikhr oleh Ka-52 terhadap sasaran bergerak pada jarak kira-kira lapan kilometer.

Ini menjelaskan mengapa Ka-52 tidak boleh dianggap sebagai aset lama yang sudah hilang relevan. Dalam keadaan sesuai, helikopter ini masih boleh menyerang dari jarak yang menyukarkan kenderaan darat bergerak bebas, terutama apabila sasaran terdedah di kawasan terbuka.

Helikopter serangan kekal relevan dalam perang moden apabila digerakkan bersama risikan, perlindungan udara dan koordinasi pasukan darat yang berkesan. Foto: Reddit

Mengapa Ka-52 menjadi masalah kepada pasukan darat

Kekuatan Ka-52 datang daripada gabungan sensor, senjata berpandu dan peranan peninjauan serangan. Helikopter ini tidak hanya membawa roket untuk serangan kawasan, tetapi juga boleh menggunakan peluru berpandu antikereta kebal bagi menyerang kenderaan berperisai dari jarak lebih selamat.

Dalam perang darat, ancaman seperti ini memberi kesan psikologi dan taktikal. Di mana, pasukan darat yang mara bukan sahaja memikirkan ancaman periuk api, artileri dan dron, tetapi juga helikopter serangan yang boleh muncul dari jarak rendah dan melepaskan peluru berpandu berpandu. Bagi pasukan yang sedang bergerak melalui kawasan terbuka, ancaman dari udara rendah boleh memperlahankan rentak operasi.

Inilah kekuatan sebenar helikopter serangan seperti Ka-52. Ia bukan semata-mata memusnahkan sasaran satu demi satu, tetapi memaksa pihak lawan bergerak dengan lebih berhati-hati. Apabila kelajuan serangan darat berkurang, peluang untuk pertahanan mengatur semula kedudukan juga meningkat.

Namun, kekuatan yang datang ini bergantung kepada beberapa syarat. Ka-52 memerlukan maklumat sasaran yang baik, ruang serangan yang mencukupi, perlindungan daripada pertahanan udara lawan dan rantaian logistik yang mampu mengekalkan operasi. Tanpa elemen ini, kelebihan senjata berpandu sahaja tidak cukup.

Medan moden semakin sempit untuk helikopter

Namun, Perang Ukraine menunjukkan bahawa ruang operasi helikopter semakin sempit. Kehadiran sistem pertahanan udara jarak dekat, peluru berpandu panggul, radar mudah alih, dron pengintip dan dron serangan menjadikan pergerakan helikopter lebih mudah dikesan dan disasarkan.

Di sinilah kerentanan Ka-52 menjadi jelas. Laporan laman risikan sumber terbuka, Oryx, merekodkan kerugian berdasarkan bukti gambar atau video, telah menyenaraikan 68 Ka-52 Alligator sebagai antara kerugian Rusia yang didokumenkan. Oryx turut menjelaskan bahawa senarainya hanya memasukkan aset yang mempunyai bukti visual, jadi jumlah sebenar boleh lebih tinggi dan senarai itu terus dikemas kini apabila bukti baharu muncul.

Angka ini tidak bermaksud Ka-52 gagal sebagai konsep. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa helikopter serangan berharga tinggi tetap terdedah apabila beroperasi dalam persekitaran yang padat dengan sensor dan senjata jarak dekat. Dalam perang moden, kemampuan menyerang perlu diseimbangkan dengan kemampuan bertahan, menyembunyikan pergerakan dan mengekalkan sokongan pangkalan.

Cabaran baharu juga datang daripada dron. CSIS menyatakan pengalaman Ukraine dalam menunjukkan inovasi medan yang pantas, termasuk penggunaan teknologi komersial dan sistem tanpa pemandu, telah menjadi sebahagian penting daripada cara Ukraine menyesuaikan diri terhadap ancaman moden.

Pengalaman medan Ukraine menunjukkan bahawa keupayaan tempur sesebuah aset udara bukan hanya ditentukan oleh senjata, tetapi juga perlindungan, taktik dan sokongan operasi. Foto: Reddit

Kerentanan bukan hanya di udara

Satu pengajaran penting daripada Perang Ukraine ialah aset udara tidak hanya boleh dimusnahkan ketika sedang terbang. Ia juga boleh menjadi sasaran ketika berada di kawasan parkir, tapak pengisian semula atau lokasi persediaan serangan.

Business Insider melaporkan bahawa pasukan operasi khas Ukraine mendakwa menggunakan sistem roket HIMARS untuk memusnahkan empat helikopter Rusia di wilayah Belgorod, termasuk dua Ka-52 dan dua Mi-8. Laporan itu turut menyatakan video tempur dan keputusan operasi tersebut tidak dapat disahkan secara bebas oleh Business Insider.

Kerentanan seperti ini bukan hanya berlaku kepada helikopter. Pada Jun 2025, Ukraine turut melancarkan serangan dron terhadap beberapa pangkalan udara Rusia yang menempatkan pesawat pengebom strategik. Associated Press, berdasarkan analisis imej satelit, melaporkan kerosakan besar di Pangkalan Udara Belaya di Siberia, termasuk kemusnahan tujuh pesawat pengebom yang dikenal pasti sebagai sekurang-kurangnya tiga Tu-95 dan empat Tu-22M.

Contoh ini menunjukkan bahawa aset udara bernilai tinggi tidak lagi selamat hanya kerana berada jauh dari barisan hadapan. Helikopter serangan seperti Ka-52, helikopter angkut seperti Mi-8, malah pesawat pengebom strategik seperti Tu-95 dan Tu-22M3 boleh menjadi sasaran apabila lokasi, pola operasi dan perlindungan pangkalan dapat dikesan pihak lawan.

Perkara ini penting kerana ia mengubah cara kita melihat kerentanan aset udara. Helikopter serangan bukan hanya memerlukan perlindungan ketika menghampiri sasaran. Ia juga memerlukan perlindungan di darat, penyebaran lokasi, penyamaran, pertahanan pangkalan dan disiplin operasi yang tinggi.

Bagi negara yang mahu memiliki helikopter serangan berat, pengajaran ini besar. Pembelian platform hanya langkah pertama. Keupayaan sebenar memerlukan ekosistem lengkap, termasuk pangkalan sesuai, alat ganti, peluru berpandu, latihan kru, perlindungan udara, risikan, sistem komunikasi dan keupayaan menyebarkan aset supaya tidak mudah dimusnahkan secara serentak.

Bukan usang, tetapi mesti berubah

Perang Ukraine tidak membuktikan bahawa helikopter serangan seperti Ka-52 sudah usang. Sebaliknya, perang itu menunjukkan helikopter serangan masih mempunyai tempat apabila digunakan dengan taktik, senjata dan sokongan yang sesuai.

Namun, medan moden tidak lagi memberi ruang mudah kepada helikopter untuk beroperasi seperti dahulu. Ka-52 boleh menjadi ancaman serius kepada kenderaan berperisai, tetapi ia juga boleh menjadi sasaran bernilai tinggi jika ruang udara dipenuhi pertahanan udara, dron dan serangan jarak jauh.

Pengajaran paling penting pada kini ialah teknologi tidak boleh berdiri sendiri. Ka-52 mungkin mempunyai reka bentuk unik dan keupayaan serangan yang kuat, tetapi keberkesanannya tetap bergantung kepada cara ia digunakan.

Dalam perang moden, aset yang kuat bukan hanya perlu mampu menyerang. Ia juga perlu mampu bertahan, bersembunyi, disokong dan disesuaikan dengan ancaman yang berubah setiap hari.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply