KUALA LUMPUR, 17 JUL – Kerajaan terus memperkukuh pembangunan ekosistem industri pertahanan tempatan secara berperingkat menerusi pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar negara.
Usaha itu dinyatakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai inisiatif membangunkan ekosistem dan geran berkaitan sistem persenjataan serta pertahanan secara domestik seperti yang dilaksanakan oleh Turkiye.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjelaskan, usaha tersebut memberikan penekanan khusus kepada pembangunan teknologi strategik tempatan, pemerkasaan rantaian bekalan, pembangunan modal insan, serta pemindahan teknologi (ToT).
Langkah ini juga bagi memastikan peningkatan kandungan tempatan dalam setiap perolehan aset pertahanan negara.
“Bagi menyokong pembangunan ekosistem tersebut, Kerajaan memperkukuh peranan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai agensi penyelidikan pertahanan negara yang menerajui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” jelas Khaled Nordin.
Pada masa sama, pembangunan teknologi pertahanan turut disokong menerusi pelbagai geran dan dana penyelidikan sedia ada yang disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta agensi penyelidikan dan inovasi negara.
Dana berkenaan dimanfaatkan untuk membangunkan teknologi berpotensi tinggi yang boleh diaplikasikan dalam sektor pertahanan negara.
Selain itu, Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme, ICP) terus dijadikan instrumen utama bagi memastikan setiap perolehan pertahanan memberi limpahan manfaat kepada negara.
“Melalui program itu, ia akan memacu pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan syarikat tempatan, serta membuka peluang untuk industri pertahanan domestik menyertai rantaian bekalan global,” katanya.
Sehubungan itu, Kerajaan juga mengenal pasti beberapa Projek Pertahanan Nasional sebagai pemangkin kepada pembangunan teknologi strategik tempatan, termasuk dalam bidang sistem tanpa pemandu, radar, satelit, simulasi serta teknologi pertahanan baharu.
Projek-projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara industri, institusi penyelidikan dan universiti bagi mempercepat pembangunan keupayaan teknologi pertahanan negara.
Menurut kementerian lagi, melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi penyelidikan, pembiayaan inovasi, dan pembangunan industri ini, kerajaan berhasrat melahirkan ekosistem pertahanan tempatan yang lebih mampan sekali gus meningkatkan tahap kemandirian (self-reliance) pertahanan negara secara berperingkat. – airtimes.my
