CALIFORNIA, 16 Jun – Lapan orang maut selepas sebuah pesawat pengebom B-52 Stratofortress Tentera Udara Amerika Syarikat terhempas sejurus selepas berlepas dari Edwards Air Force Base, California, pada Isnin.
Menurut kenyataan 412th Test Wing, pesawat itu membawa lapan orang ketika menjalankan misi ujian rutin sebelum terhempas kira-kira jam 11.20 pagi waktu tempatan.
“Petunjuk awal menunjukkan nahas itu tidak dapat diselamatkan. Anggota tindak balas kecemasan berada di lokasi dan pegawai sedang berusaha mengesan semua kakitangan,” menurut kenyataan itu.
Nahas berkenaan kini dalam siasatan.
Laporan media Amerika Syarikat memetik pegawai tentera sebagai berkata semua lapan individu di dalam pesawat disahkan maut. Mereka terdiri daripada anggota tentera beruniform, kakitangan awam kerajaan dan kontraktor kerajaan.
Timbalan Komander 412th Test Wing, Kolonel James Hayes berkata, pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas dan terbakar sebaik menghentam kawasan berhampiran landasan.
“Kami kehilangan lapan rakyat Amerika yang hebat,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, misi itu dilaksanakan bagi menyokong program pemodenan radar, namun punca nahas belum dikenal pasti.
Boeing dalam kenyataan berasingan mengesahkan dua pekerjanya termasuk antara individu yang berada di dalam pesawat tersebut.
Syarikat itu menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan keluarga pekerja terbabit bagi memberikan sokongan.
Edwards Air Force Base merupakan antara pusat utama ujian dan pembangunan pesawat, sistem senjata, perisian serta komponen Tentera Udara Amerika Syarikat.-airtimes.my
