ST. LOUIS, 28 APR – Boeing dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) berjaya melengkapkan penerbangan ujian pertama pesawat tanpa pemandu (UAV) MQ-25A Stingray selama dua jam.
Penerbangan itu membawa program MQ-25A lebih hampir kepada operasi di atas kapal pengangkut pesawat dan membuka laluan kepada integrasi pesawat tanpa pemandu dalam sayap udara kapal induk.
Pihak Beoing dalam satu kenyataan berkata, MQ-25A berjaya menunjukkan keupayaan bergerak di darat, berlepas, terbang, mendarat dan bertindak balas kepada arahan secara autonomi.
Arahan misi dihantar melalui Unmanned Carrier Aviation Mission Control System MD-5 Ground Control Station di MidAmerica St. Louis Airport, Mascoutah, Illinois

Walaupun dilaksanakan selama 2 jam, kejayaan MQ-25A dalam penerbangan ujian yang pertama ini bakal membuka dimensi baharu pengoperasian UAS di kapal induk pada masa hadapan. /Foto: Boeing
Menurut Boeing, pesawat itu melaksanakan rancangan misi yang ditetapkan bagi mengesahkan kawalan penerbangan, navigasi dan integrasi dengan sistem kawalan darat.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Boeing Air Dominance, Dan Gillian berkata, kejayaan itu menunjukkan kematangan besar program MQ-25A selepas beberapa tahun pembelajaran daripada prototaip MQ-25A T1.
“MQ-25A ialah sistem autonomi paling kompleks yang pernah dibangunkan untuk persekitaran kapal pengangkut pesawat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tentera Laut AS, Laksamana Muda Tony Rossi berkata, penerbangan pertama MQ-25A menjadi langkah penting ke arah masa depan sayap udara kapal pengangkut pesawat.

MQ-25A Stingray akan menjalani ujian lanjutan sebelum dibenarkan untuk beroperasi di kapal induk . /Foto: Boeing
Menurut beliau, penerbangan itu menunjukkan kemajuan dalam usaha menyediakan keupayaan pengisian minyak di udara berasaskan kapal pengangkut pesawat.
MQ-25A dibangunkan sebagai titik permulaan kepada US Navy untuk mengintegrasikan pesawat tanpa pemandu di dek kapal induk, termasuk operasi bersama antara pesawat berawak dan tanpa pemandu.
Pesawat yang diuji itu ialah yang pertama daripada empat pesawat Engineering Development Model yang akan diserahkan kepada Tentera Laut AS di bawah kontrak Engineering and Manufacturing Development bernilai AS$805 juta.
Boeing dan US Navy akan menjalankan penerbangan ujian tambahan dari MidAmerica St. Louis Airport sebelum program itu beralih ke Naval Air Station Patuxent River, Maryland, bagi persiapan kelayakan operasi kapal pengangkut pesawat.

Pada ketika ini, peranan pengisian bahan api di udara untuk operasi kapal induk US Navy digalas oleh F/A-18 Super Hornet. /Foto:US Navy
Berperanan sebagai pesawat pengisian minyak di udara
Stingray bukanlah sebuah pesawat UAV yang lazimnya melaksanakan misi tinjauan (ISR) atau tempur (UCAV). Peranan utama MQ-25A adalah untuk mengisi peranan untuk mengisi minyak pesawat sayap udara US Navy yang lazimnya terdiri daripada F/A-18 Super Hornet, F-35C dan EA-18G . Pada ketika ini, operasi pengisian minyak di udara bagi ketiga-tiga pesawat tersebut dilakukan secara ‘buddy refuelling’, situasi di mana sebuah pesawat F/A-18 akan mengisi minyak pesawat lain di udara.
Keupayaan UAV ini untuk mengisi minyak di udara bermula dengan kejayaan prototaip MQ-25A T1 untuk mengisi minyak sebuah jet pejuang F/A-18 Super Hornet pada 4 Jun 2021.
Berdasarkan spesifikasi yang disiarkan oleh pihak Markas Pemerintahan Sistem Udara Tentera Laut AS (Naval Air Systems Command, NAVAIR), panjang MQ-25A Stingray adalah 22.86 meter dan rentang pesawat (wingtip-to-wingtip) adalah 15.4 meter.
Seperti pesawat lain yang ditempatkan di atas kapal induk, sayap pesawat MQ-25A boleh dilipat bagi menjimatkan ruang.

Operasi pengisian minyak oleh MQ-25A dilaksanakan dengan menggunakan kaedah ‘probe-and-drogue. Perhatikan pod khusus pada saya Stingray. /Foto:US Navy
UAV sebagai pemacu jarak operasi pesawat tempur kapal induk
Pengisian minyak di udara merupakan salah satu jujukan operasi yang mustahak pada sesebuah kapal induk. Ini bagi membolehkan sesebuah pesawat tempur mampu untuk beroperasi pada jarak yang lebih jauh dan terbang lebih lama.
Sekiranya MQ-25A berjaya mencapai peringkat penghasilan, keupayaan tempur sayap udara kapal induk US Navy dijangka akan bertambah. Ini terutamanya apabila peranan pesawat pengisian minyak dalam operasi kapal induk US Navy pada ketika ini digalas oleh F/A-18 Super Hornet.
MQ-25A Stingray bukanlah satu-satunya UAV yang sedang diuji untuk beroperasi di kapal induk. Ini berdasarkan beberapa siri program pembangunan operasi sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) sedang giat dilaksanakan di Eropah dan Asia. – airtimes.my












