DUSSELDORF, 1 APR – Syarikat pertahanan Rheinmetall dan Boeing Australia telah memeterai satu perkongsian strategik untuk menawarkan pesawat tempur kolaboratif (CCA) jenis MQ-28 Ghost Bat kepada Jerman. Tawaran ini bertujuan bagi memenuhi keperluan perolehan Tentera Jerman (Bundeswehr) menjelang tahun 2029.
Pesawat tanpa pemandu (uav) ang direka dan dibangunkan di Australia itu telah melengkapkan lebih 150 penerbangan ujian. Platform ini terbukti mampu bertindak sebagai pengganda kekuatan dan beroperasi secara bersama dengan pesawat tempur konvensional.
Gandingan secara teaming ini bermatlamat untuk meingkatkan keupayaan tempur di ruang udara yang berisiko tinggi.
Reka bentuk modular dron berkenaan turut menyokong pelbagai jenis misi termasuk tugas peninjauan, peperangan elektronik serta integrasi sistem senjata.
Menerusi perkongsian tersebut, Rheinmetall akan bertindak sebagai pengurus sistem bagi MQ-28 di Jerman. Syarikat itu akan menyelia proses integrasi pesawat berkenaan ke dalam sistem arahan dan senjata sedia ada serta sistem masa hadapan Bundeswehr.
Rheinmetall juga bertanggungjawab untuk menyesuaikan platform tersebut dengan keperluan negara, di samping memastikan sokongan operasi, penyelenggaraan dan logistik.
Rheinmetall turut merancang untuk menyokong persekitaran digital khusus di Jerman bagi membolehkan jurutera dari kedua-dua negara menyumbang, menguji serta mengesahkan inovasi perisian dan perkakasan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rheinmetall AG, Armin Papperger berkata, pihaknya sedang meletakkan asas untuk menyesuaikan MQ-28 dengan keperluan spesifik Bundeswehr secara optimum.
“Kami akan memastikan proses integrasi, operasi dan pembangunan seterusnya datang daripada satu sumber. Pada masa yang sama, kami memperkukuh penciptaan nilai perindustrian dalam bentuk hab perindustrian di Jerman serta Eropah. Kami melihat potensi pendapatan bagi Rheinmetall berada dalam lingkungan ratusan juta euro,” jelas beliau.
Presiden Boeing Global, Dr Brendan Nelson pula menyifatkan kerjasama berkenaan bukan sekadar perkongsian antara dua entiti perniagaan, sebaliknya mewakili hubungan antara Jerman dan Australia yang berkongsi strategi serupa dalam mengintegrasikan pesawat tempur kolaboratif ke dalam tentera udara masing-masing.
“Perkongsian kami akan menyaksikan pangkalan perindustrian Jerman memanfaatkan inovasi dan pelaburan Australia selama bertahun-tahun untuk menempatkan serta membangunkan MQ-28 bagi pihak Bundeswehr,” kata beliau.
Dibangunkan oleh Boeing di Australia sejak lapan tahun lalu, MQ-28 Ghost Bat merupakan sistem CCA yang matang dan direka khusus untuk menyokong integrasi keupayaan pihak ketiga.
Platform ini telah mempamerkan keupayaan operasi untuk Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) apabila ia berjaya menjejak dan memusnahkan satu sasaran udara secara autonomi dalam satu demonstrasi pada hujung tahun 2025.
Kerjasama baharu ini dijangka menawarkan penjimatan masa yang ketara kepada Bundeswehr dalam mencapai keupayaan operasi CCA mereka menjelang 2029. – airtimes.my
