Home SemasaDiserang kumpulan individu tidak dikenali, peronda UNIFIL balas tembakan

Diserang kumpulan individu tidak dikenali, peronda UNIFIL balas tembakan

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

NEW YORK, 1 APR – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri selepas konvoi rondaan mereka diserang oleh sekumpulan individu bersenjata di Sektor Barat.

Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jean-Pierre Lacroix mendedahkan insiden keselamatan yang serius itu berlaku berhampiran kawasan Dayr Qanun An Nahr apabila laluan konvoi pengaman antarabangsa tersebut telah disekat oleh 20 individu bersenjata yang tidak dikenali identiti.

“Pada 30 Mac, satu pasukan rondaan UNIFIL berhampiran Dayr Qanun An Nahr di Sektor Barat telah dihujani tembakan senjata ringan oleh sekumpulan kira-kira 20 individu,

“Pasukan rondaan membalas tembakan dan melepaskan diri sebelum kembali ke Ibu Pejabat Naqoura,” kata Lacroix dalam taklimatnya kepada Majlis Keselamatan PBB pada Selasa.

Dayr Qanun An Nahr merupakan kawasan penempatan yang terletak di wilayah Tyre, Selatan Lubnan. Berdasarkan peta UNIFIL sebelum ini, kawasan tersebut merupakan di bawah tanggungjawab pasukan pengaman kontinjen dari Itali.

Lacroix turut mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kalangan anggota pengaman susulan pertempuran singkat tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan peningkatan insiden sekatan pergerakan dan tingkah laku agresif oleh pelbagai pihak di zon pertempuran sebagai sesuatu yang sangat membimbangkan serta mencabuli resolusi antarabangsa.

“Anggota pengaman tidak boleh sesekali dijadikan sasaran serangan. Semua tindakan yang membahayakan nyawa mereka mesti dihentikan serta-merta, dan setiap pihak wajib mematuhi tanggungjawab bagi memastikan keselamatan anggota kita pada setiap masa,” tegas Lacroix. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply