NEW YORK, 1 APRIL – Tindakan agresif Tentera Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan semakin membimbangkan apabila pasukan itu dilaporkan melepaskan tembakan amaran dan membedil meriam kereta kebal pada jarak dekat dengan konvoi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jean-Pierre Lacroix mendedahkan insiden keselamatan yang serius itu berlaku pada 28 Mac lalu dan menyifatkannya sebagai satu bentuk ancaman langsung terhadap misi pengaman antarabangsa.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila tentera Israel yang berada di sebuah pos kawalan baharu di jalan pesisir pantai, terletak kira-kira 4 kilometer di utara Ibu Pejabat UNIFIL di Naqoura, telah melepaskan tembakan amaran ke arah pasukan rondaan PBB.
Tembakan tersebut dilaporkan telah mengenai bahagian belakang salah sebuah kenderaan pengaman yang sedang melalui kawasan terbabit.
Keadaan bertukar menjadi lebih ekstrem ketika konvoi tersebut menggunakan laluan yang sama untuk perjalanan pulang. Sebuah kereta kebal IDF di pos kawalan berkenaan telah melepaskan tembakan meriam utama yang meletup pada jarak hanya 15 meter dari kenderaan UNIFIL.
Impak daripada letupan jarak dekat tersebut telah mengakibatkan tayar kenderaan pengaman terbabit bocor.
Menyentuh insiden melibatkan 3 anggota pengaman UNIFIL dari Indonesia, Lacroix menegaskan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku.
“Kami menyatakannya dengan jelas, dan perkara ini sudah terlalu kerap diulang. Pasukan pengaman tidak boleh sesekali menjadi sasaran,” kata Lacroix dalam taklimatnya kepada Majlis Keselamatan PBB pada Selasa.
Beliau memaklumkan bahawa pihak UNIFIL kini sedang melancarkan siasatan terperinci bagi menentukan keadaan sebenar dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden malang tersebut. – airtimes.my




