Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT 850-9 beri perkhidmatan kesihatan percuma kepada komuniti Ma’rub

MALBATT 850-9 beri perkhidmatan kesihatan percuma kepada komuniti Ma’rub

by Air Times News Network

MA’RUB, 24 Mac – Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT-850-9) meneruskan tanggungjawab sosialnya di bumi Lubnan melalui Program Perkhidmatan Kesihatan dan Pergigian secara percuma untuk komuniti setempat serta sumbangan kepada anak yatim, semalam.

Markas Angkatan Bersama (MKAB) menerusi laman media sosialnya berkata, program kali ini adalah untuk meningkatkan hubungan baik di antara MALBATT 850-9 dan Municipality Ma’rub dengan kerjasama Pengarah Rumah Anak Yatim Imam Ali bin Abu Talib, Imam Hassan.

“Program ini dilaksanakan bagi memberi perkhidmatan kesihatan dan pergigian secara percuma kepada penduduk setempat,

“Ianya memberi manfaat kepada lebih 43 orang penduduk yang hadir dalam mendapatkan rawatan,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Jelasnya lagi, seramai 3 Pegawai Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Mejar (Dr) Matthew Francis Selvanathan, Mejar (Dr) Amirah Sulaiman, dan Kapten (Dr) Amir Syukri Hamdan telah terlibat dalam program itu.

Pada program sama, Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin turut menyampaikan sumbangan ubat-ubatan dan barang keperluan asas kepada Pengurus Rumah Anak Yatim Imam Ali bin Abu Talib, Rawayaya Hamedeh dalam meringankan beban mereka. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply