Home Semasa Pelajar Malaysia tidak terlibat dalam rusuhan di Bangladesh – Saifuddin

Pelajar Malaysia tidak terlibat dalam rusuhan di Bangladesh – Saifuddin

by Nurulhuda

SEPANG, 23 Jul – Pelajar Malaysia di Bangladesh tidak terlibat dalam demonstrasi sejak 1 Julai lepas susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua pelajar Malaysia di sana turut tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang berlakunya rusuhan itu.

Menurutnya, pelajar Malaysia di Bangladesh jelas akan isu yang berlaku dimana ia melibatkan isu domestik dan memahami peranan mereka sebagai seorang pelajar.

“Saya ada tanya dengan pelajar-pelajar tadi adakah pelajar dari Universiti Pertanian Bangladesh, Kolej Perubatan Chittagong, Kolej Pergigian Dhaka atau ada dari kalangan mereka ini ikut terlibat dalam rusuhan? Jawapannya tidak,

“Adakah mereka ini mengalami kecederaan? Jawapannya tidak. Mereka tidak menyertai rusuhan itu. Jelas mereka faham isu yang sedang berlaku. Keutamaan mereka adalah keselamatan nyawa. Semangat mereka tinggi dan berharap rusuhan itu reda termasuk hendak menamatkan pengajian mereka,

“Mereka turut menzahirkan ucapan terima kasih atas usaha yang dibuat khususnya kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya,” jelanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan pesawat AirAsia yang membawa rakyat Malaysia dari Dhaka, Bangladesh di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, selain dari beberapa pelajar yang merupakan pelajar tahun akhir, terdapat juga 5 orang pegawai tentera rakyat Malaysia yang masih bertugas disana.

Tambahnya, terdapat juga 10 orang juruterbang yang bekerja dengan syarikat penerbangan US-Bangla Airlines masih berada di negara berkenaan.

“Mereka ini memutuskan untuk tidak balik dan meneruskan pekerjaan mereka kerana terikat dengan kontrak pekerja di syarikat berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, pesawat AirAsia yang membawa rakyat Malaysia dari Dhaka, Bangladesh telah selamat tiba di Terminal 2, KLIA2, Sepang pada jam 4.56 petang, Selasa.

Seramai 123 orang rakyat Malaysia selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada Selasa, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, susulan ketegangan yang berlaku di Bangladesh.

Dari jumlah itu, 80 orang adalah pelajar Malaysia dan selebihnya adalah rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh.

Kesemua penumpang menaiki pesawat itu pada jam 11.23 pagi waktu tempatan (Bangladesh).-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Airtimes #pesawatkhas #bangladesh

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!