Home SemasaMalaysia sambut baik MoU AS-Iran, lihat ruang redakan ketegangan Asia Barat

Malaysia sambut baik MoU AS-Iran, lihat ruang redakan ketegangan Asia Barat

Malaysia menyifatkan Memorandum Persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran sebagai langkah penting ke arah mengurangkan ketegangan di Asia Barat serta membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 15 JUN – Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran yang disifatkan sebagai perkembangan penting ke arah pengurangan ketegangan di Asia Barat.

Menurut Kementerian Luar Negeri, MoU itu turut mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan antara pihak-pihak terlibat.

“Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran yang menandakan satu langkah penting ke arah pengurangan ketegangan di Asia Barat serta mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Türkiye serta negara-negara serantau atas peranan masing-masing dalam menyokong usaha diplomatik dan dialog antara pihak berkenaan.

Kementerian itu berkata, Malaysia turut mengiktiraf komitmen serta penglibatan konstruktif semua pihak dalam usaha mengurangkan ketegangan serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Menurut kenyataan itu, Malaysia berharap pemeteraian MoU di Switzerland yang dijadualkan pada 19 Jun 2026 akan membuka ruang kepada rundingan susulan ke arah satu perjanjian keamanan yang kekal dan menyeluruh.

Langkah pelaksanaan awal termasuk aturan keselamatan maritim, pelepasan sekatan secara berfasa serta langkah lain yang dipersetujui pihak terlibat diharap dapat menyumbang kepada penghentian permusuhan secara berkekalan.

Malaysia turut berharap perkembangan itu dapat meningkatkan kestabilan serantau, melindungi kebebasan navigasi di Selat Hormuz serta mengukuhkan ekonomi global dan keselamatan tenaga.

Kementerian Luar Negeri menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa keamanan berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, diplomasi dan penghormatan bersama.

Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk menyokong inisiatif konstruktif yang menyumbang kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta pengukuhan keadilan dan kemakmuran sejagat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply