LUMUT, 19 MEI – Tindakan Norway membatalkan lesen eksport bagi satu sistem pertahanan kepada Malaysia menimbulkan persoalan besar terhadap kebolehpercayaan komitmen antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa isu itu bukan sekadar soal perolehan, sebaliknya mencerminkan hakisan kepercayaan dalam hubungan antara negara.
Menurut beliau, Malaysia telah memenuhi obligasi kontrak serta membuat hampir keseluruhan bayaran yang dipersetujui. Katanya, kerajaan Norway tetap membatalkan lesen eksport tersebut secara unilateral pada saat akhir.
“Tindakan Norway ini menimbulkan satu persoalan besar tentang kebolehpercayaan komitmen antarabangsa. Apa yang berlaku kepada kita bukan hanya soal perolehan pertahanan, tetapi mencerminkan hakisan kepercayaan dalam hubungan antarabangsa,” katanya dalam sidang media sempena lawatan beliau di Lumut Naval Shipyard (LUNAS) hari ini.
Beliau berkata, Malaysia telah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak sebelum kerajaan Norway enggan mengeluarkan lesen eksport bagi sistem berkenaan.
“Malaysia telah memenuhi segala obligasi kontrak. Kita telah membuat hampir keseluruhan bayaran yang dipersetujui iaitu 95 peratus daripada nilai kontrak,” katanya.
Menurutnya, pembatalan lesen itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan Malaysia. Keputusan berkenaan dikaitkan dengan dasar baharu Norway yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif kepada sekutu serta rakan strategik terdekat.
Beliau berkata, dasar itu merujuk kepada negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO, serta rakan strategik yang diiktiraf oleh Norway.
“Kerajaan Norway telah membatalkan lesen eksport bagi sistem tersebut secara unilateral. Ia dilakukan sendiri, tanpa sebarang perbincangan, kemudian enggan mengeluarkan lesen eksport atas alasan dasar baharu negara mereka,” katanya.
Menteri Pertahanan berkata, perkembangan itu boleh memberi kesan kepada keyakinan Malaysia dalam urusan perolehan pertahanan dengan negara Barat. Katanya, tindakan Norway mungkin menjadi petunjuk risiko sama boleh berlaku dalam perolehan lain pada masa depan.
“Tidak, ia tidak menunjukkan satu perkara yang boleh dipercayai. Bagaimana kita hendak berurusan dengan pihak yang kita tidak boleh percaya? Itu sahaja,” katanya ketika menjawab soalan media sama ada tindakan tersebut menunjukkan pihak berkenaan tidak boleh dipercayai.
Mengulas mengenai kemungkinan boikot, beliau berkata Malaysia perlu mengelak daripada sebarang urusan dengan pihak terbabit.
“Kita elak daripada sebarang urusan. Dalam semua bidang. Pada saya, kalau tanya saya,” katanya.
Perkembangan itu meletakkan isu perolehan pertahanan negara dalam perhatian baharu. Ia turut membuka ruang penilaian semula terhadap risiko politik dalam kontrak pertahanan antarabangsa. -airtimes.my
