SEOUL, 30 JUN – Indonesia telah melengkapkan pembayaran sebanyak 600 bilion won (kira-kira AS387 juta) bagi program pembangunan bersama pesawat pejuang KF-21 Boramae.
Langkah ini sekali gus menamatkan polemik ketidaktentuan berhubung komitmen kewangan Jakarta dalam projek aeroangkasa strategik bersama Korea Selatan.
Pengesahan penerimaan dana itu diumumkan oleh Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA) Korea Selatan, menandakan titik noktah kepada isu tunggakan yang berlarutan dalam kerjasama pertahanan dua hala ini.
Pada fasa awal pemeteraian perjanjian, Indonesia telah bersetuju untuk menjadi rakan pembangunan bersama dengan komitmen asal menanggung 20 peratus daripada keseluruhan kos pembangunan pesawat tempur generasi 4.5 berkenaan.
Walau bagaimanapun, susulan cabaran fiskal dan kelewatan jadual pembayaran, komitmen kewangan Jakarta telah disemak semula serta dimuktamadkan pada nilai 600 bilion won.
Rundingan semula tersebut turut melibatkan penjajaran baharu ke atas parameter dan skop Pemindahan Teknologi (ToT) yang bakal disalurkan kepada industri pertahanan tempatan Indonesia.
KF-21 Boramae merupakan inisiatif kemuncak perindustrian pertahanan Korea Selatan yang bermatlamat untuk membangunkan keupayaan tempur udara termaju secara domestik, di samping mengurangkan kebergantungan kepada platform asing.
Penyelesaian bayaran oleh Indonesia dijangka membolehkan kedua-dua pihak meneruskan langkah berkaitan pemindahan nilai yang dipersetujui dalam program itu, termasuk urusan berkaitan prototaip KF-21 yang sebelum ini dilaporkan akan diserahkan kepada Jakarta. -airtimes.my












