Home DiskusiAnjakan doktrin perolehan: Bagaimana Korea Selatan mendominasi rantaian bekalan pertahanan ASEAN

Anjakan doktrin perolehan: Bagaimana Korea Selatan mendominasi rantaian bekalan pertahanan ASEAN

Daripada FA-50 hingga K9 Thunder, Seoul muncul sebagai pilihan menarik kerana menawarkan harga kompetitif, teknologi moden, penghantaran lebih pantas dan ruang kerjasama industri kepada negara pembeli.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Korea Selatan bukan lagi pemain pinggiran

Jika budaya popular membawa nama Korea Selatan ke pentas dunia melalui K-pop dan drama televisyen, industri pertahanannya kini bergerak melalui laluan berbeza dengan pembuatan FA-50, K9 Thunder, kapal perang, sistem pertahanan udara dan peluru berpandu.

Dalam tempoh kurang dua dekad, Korea Selatan berubah daripada negara yang banyak bergantung kepada teknologi pertahanan asing kepada antara pembekal senjata paling agresif di Asia. Agresif di sini bukan bermaksud paling besar dari segi angka global, tetapi agresif dari segi strategi eksport, kelajuan pemasaran, kesediaan menyesuaikan pakej pelanggan dan kemampuan menghantar aset dalam tempoh yang lebih singkat berbanding sesetengah pembekal tradisional.

Data Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) menunjukkan Korea Selatan berada di tangga ke-10 pengeksport senjata utama dunia bagi tempoh 2020 hingga 2024, dengan 2.2 peratus bahagian eksport global. Angka itu meningkat daripada 0.9 peratus dalam tempoh sedekad sebelumnya.

Lebih penting, komposisi eksportnya juga semakin luas dan bukan lagi terhad kepada artileri, kapal dan pesawat, tetapi sudah merangkumi kenderaan berperisai, peluru berpandu dan sistem pertahanan udara.

Perkembangan ini menjadikan Korea Selatan sebagai pencabar baharu kepada dominasi pembekal Barat, terutama dalam segmen negara yang mahukan aset moden tetapi tidak semestinya mampu, atau mahu, menanggung kos dan tempoh menunggu yang panjang.

Industri pertahanan Korea Selatan telah berkembang menjadi salah satu kuasa eksport senjata yang paling pesat berkembang di dunia./Foto: Reddit

Formula Seoul: harga, kapasiti dan penghantaran

Kekuatan Korea Selatan bukan terletak pada satu aset sahaja. Nilai sebenar Seoul ialah gabungan industri, kerajaan dan tentera yang membentuk ekosistem eksport pertahanan yang lebih lincah.

Bagi banyak negara pembeli, persoalannya bukan sekadar “aset mana paling canggih”, tetapi aset mana boleh diperoleh dengan kos terkawal, dihantar dalam masa munasabah, diselenggara secara mampan dan disesuaikan dengan keperluan operasi tempatan.

SIPRI menilai pengeluar Korea Selatan mendapat manfaat daripada permintaan mendesak, khususnya di Eropah selepas perang Ukraine, kerana mampu menawarkan penghantaran lebih pantas, harga kompetitif dan pemindahan teknologi yang lebih menarik berbanding sebahagian pembekal tradisional.

Kes Poland sering dijadikan contoh, Kementerian Pertahanan Poland menyatakan kerjasama dengan Korea Selatan membolehkan Warsaw menerima penghantaran awal K2, K9, FA-50 dan pelancar roket Chunmoo dalam tempoh singkat ketika negara itu perlu menggantikan sebahagian aset yang dihantar kepada Ukraine.

Bagi negara kecil dan sederhana, faktor ini besar. Banyak tentera udara, laut dan darat tidak mempunyai kemewahan menunggu terlalu lama selepas keputusan perolehan dibuat. Aset yang tiba lewat bukan sekadar isu jadual, tetapi boleh mewujudkan jurang keupayaan, menekan aset lama dan menambah kos penyelenggaraan sementara.

FA-50 sebagai pintu masuk ASEAN

Di Asia Tenggara, FA-50 menjadi antara wajah paling jelas kepada kebangkitan eksport pertahanan Korea Selatan. Pesawat ini tidak dipasarkan sebagai pengganti penuh kepada pesawat tempur berat, sebaliknya mengisi ruang antara pesawat latihan lanjutan dan pesawat tempur ringan.

Korea Aerospace Industries (KAI) menyatakan FA-50 dibangunkan daripada keluarga T-50 dan dilengkapi keupayaan seperti pautan data taktikal, persenjataan berpandu tepat dan sistem perlindungan diri. Pesawat ini digunakan oleh Tentera Udara Republik Korea sejak 2013.

Malaysia menjadi contoh penting. KAI mengumumkan pada Februari 2023 bahawa syarikat itu menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Malaysia bagi 18 pesawat FA-50 bernilai kira-kira 1.2 trilion won atau AS$920 juta.

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), FA-50M bukan sekadar pembelian pesawat. Ia mengisi keperluan pesawat tempur ringan dan latihan lanjutan selepas jurang yang lama wujud dalam struktur armada. Dari sudut industri pula, ia membuka ruang lebih luas kepada penyelenggaraan, latihan, sokongan alat ganti dan kemungkinan kerjasama teknikal jangka panjang.

Nilai FA-50 kepada negara ASEAN juga terletak pada keseimbangan. Ia tidak menawarkan semua keupayaan pesawat tempur generasi baharu, tetapi bagi negara yang memerlukan jam penerbangan latihan, rondaan udara, pencegahan asas dan platform tempur ringan, formula kos-keupayaan ini boleh menjadi lebih realistik.

FA-50 dan K9 Thunder menjadi antara simbol kebangkitan eksport pertahanan Korea Selatan./Foto: KAI

K9 Thunder dan imej baharu artileri Korea

Jika FA-50 membawa Korea Selatan ke pasaran udara, K9 Thunder pula memperkukuh reputasi Seoul dalam domain darat. Meriam gerak sendiri K9 bukan sekadar produk eksport, tetapi sudah membentuk komuniti pengguna yang melibatkan beberapa negara NATO dan rakan keselamatan lain.

Hanwha Aerospace menyatakan K9 digunakan oleh beberapa negara termasuk Korea Selatan, Poland, Norway, Finland, Estonia, Australia dan Romania, manakala Amerika Syarikat dan Sweden pernah hadir sebagai pemerhati dalam acara komuniti pengguna K9.

Kekuatan K9 bukan hanya pada spesifikasi di atas kertas, nilai eksportnya datang daripada gabungan pengeluaran berskala, pakej sokongan, pemindahan teknologi dan penyesuaian industri tempatan. Dalam kontrak Poland, Hanwha menyatakan perjanjian bernilai kira-kira 3.45 trilion won itu meliputi penghantaran K9, peluru, pemindahan teknologi untuk pengeluaran komponen penyelenggaraan dan sokongan teknikal kepada industri pertahanan Poland.

Dalam dunia pertahanan moden, aset yang sukar disenggara boleh menjadi beban walaupun kelihatan hebat ketika perolehan diumumkan.

Kapal perang dan peluru berpandu: Seoul meluaskan portfolio

Korea Selatan juga semakin menonjol dalam pembinaan kapal perang, Filipina menjadi contoh paling jelas di Asia Tenggara apabila HD Hyundai Heavy Industries membina kapal perang untuk Tentera Laut Filipina, termasuk frigat BRP Miguel Malvar yang ditauliahkan pada Mei 2025.

Kedutaan Korea Selatan di Filipina menyatakan kapal itu dibina oleh HD Hyundai Heavy Industries dan majlis pentauliahannya berlangsung sempena ulang tahun ke-127 Tentera Laut Filipina.

Perkembangan ini penting kerana ia menunjukkan Korea Selatan bukan sekadar mengeksport platform udara dan darat. Ia turut menawarkan penyelesaian maritim kepada negara kepulauan yang berdepan tuntutan pengawasan laut, keselamatan zon ekonomi eksklusif dan keperluan modenkan armada.

Dalam domain pertahanan udara, sistem Cheongung-II atau KM-SAM II pula menunjukkan Seoul mampu menembusi pasaran Timur Tengah. Pada 2024, LIG Nex1 memperoleh kontrak bernilai kira-kira 3.7 trilion won dengan Iraq bagi sistem pertahanan udara jarak sederhana Cheongung-II, selepas sistem sama turut dikaitkan dengan Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

Kepelbagaian portfolio ini memberi mesej jelas bahawa Korea Selatan mahu dikenali bukan sebagai vendor niche, tetapi sebagai pembekal pertahanan penuh yang mampu menawarkan pesawat, artileri, kapal, roket, peluru berpandu dan sistem pertahanan udara.

BRP Miguel Malvar yang dihasilkan oleh syarikat Korea Selatan, HD Hyundai Heavy Industries merupakan antara aset paling canggih yang dimiliki oleh Tentera Laut Filipina./Foto: Naval Institute

Mengapa ASEAN tertarik dengan Korea Selatan

Banyak negara ASEAN mempunyai keperluan naik taraf aset yang mendesak tetapi bajet terbatas. Platform Barat tertentu menawarkan keupayaan tinggi, namun kos pemerolehan, kos operasi, latihan dan alat ganti boleh menjadi cabaran. Korea Selatan masuk ke ruang tengah, cukup untuk memenuhi keperluan utama, tetapi lebih mudah dipakejkan mengikut kemampuan negara pembeli.

Kedua, Seoul dilihat sebagai rakan yang lebih fleksibel dalam kerjasama industri. Ini penting bagi negara yang mahu membina ekosistem penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat atau MRO, serta meningkatkan penglibatan syarikat tempatan.

Menurut International Institute for Strategic Studies (IISS), Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand telah menandatangani perjanjian bernilai lebih AS$8.2 bilion dengan syarikat Korea Selatan dalam tempoh 22 tahun bagi platform kompleks termasuk kapal selam dan pesawat tempur.

Ketiga, Korea Selatan tidak membawa beban geopolitik yang sama seperti beberapa kuasa besar. Ia sekutu rapat Amerika Syarikat, tetapi dalam banyak kes, perolehan dari Seoul dilihat lebih pragmatik dan kurang sensitif dari segi politik domestik berbanding pembelian daripada kuasa besar tertentu.

Keempat, ASEAN memerlukan aset yang sesuai dengan geografi maritim, kepulauan, sempadan panjang dan ancaman bukan tradisional. Pesawat tempur ringan, kapal rondaan bersenjata, frigat ringan, sistem roket dan pertahanan udara jarak sederhana boleh menjadi lebih sesuai daripada sistem yang terlalu mahal atau terlalu berat untuk corak operasi harian.

Peluang Malaysia: daripada pembeli kepada rakan industri

Bagi Malaysia, hubungan pertahanan dengan Korea Selatan sudah memasuki fasa lebih serius melalui perolehan FA-50M. Namun peluang sebenar bukan berhenti pada pesawat.

Pada Oktober 2025, Korea Selatan dan Malaysia menandatangani memorandum persefahaman untuk memperkukuh kerjasama industri pertahanan. Laporan yang memetik Defense Acquisition Program Administration (DAPA) Korea Selatan menyatakan kerjasama itu merangkumi bukan sahaja perolehan senjata, tetapi juga penyelidikan dan pembangunan teknologi pertahanan serta pengeluaran bersama material pertahanan.

Untuk Malaysia, ruang paling praktikal mungkin bermula dengan MRO, latihan teknikal, sokongan alat ganti, pembangunan vendor tempatan dan integrasi sistem sokongan. Ini lebih realistik berbanding terus bercakap tentang pengeluaran penuh platform kompleks.

Dasar industri pertahanan negara memerlukan projek yang boleh membina kemahiran sebenar, bukan sekadar memasang komponen kecil tanpa pemindahan pengetahuan bermakna. Korea Selatan boleh menjadi rakan yang sesuai jika rundingan Malaysia memberi tumpuan kepada nilai jangka panjang: tenaga kerja mahir, dokumentasi teknikal, pensijilan, latihan jurutera dan rangkaian bekalan.

Namun, peluang ini tidak datang secara automatik. Setiap kerjasama industri perlu disusun dengan syarat yang jelas. Jika tidak, pemindahan teknologi boleh tinggal sebagai frasa dalam kenyataan rasmi, sedangkan kebergantungan terhadap vendor luar tetap kekal.

Dominasi Barat belum runtuh

Pesawat F-35 Lightning II antara aset yang masih mendominasi pasaran global sebagai jet pejuang generasi kelima pilihan utama dunia./Foto: Lockheed Martin

Walaupun Korea Selatan semakin menonjol, ia belum menggantikan pembekal Barat. Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom masih mempunyai kelebihan besar dalam segmen tertentu seperti pesawat tempur generasi baharu, sistem sensor strategik, kapal selam nuklear, peluru berpandu jarak jauh dan rangkaian pertahanan bersepadu.

Maksud “mencabar dominasi Barat” lebih tepat difahami sebagai memecahkan monopoli pilihan. Negara pembeli kini mempunyai lebih banyak alternatif yang boleh dibandingkan berdasarkan kos, masa penghantaran, kesesuaian operasi dan syarat industri.

Dalam pasaran Asia, ini penting. Banyak negara tidak mahu terikat kepada satu blok pembekal sahaja. Mereka mencari keseimbangan antara keupayaan, kos, diplomasi dan kebebasan membuat keputusan. Korea Selatan menawarkan laluan tengah yang semakin meyakinkan.

Tetapi Seoul juga mempunyai nilai batas dalam penghasilan, sebahagian sistem Korea Selatan masih bergantung kepada komponen, teknologi atau integrasi Barat. Ini boleh menimbulkan isu kawalan eksport, lesen pihak ketiga dan kesesuaian dengan sistem sedia ada negara pembeli.

Selain itu, peningkatan eksport yang terlalu pantas juga akan menguji kapasiti pengeluaran, sokongan selepas jualan dan kemampuan industri Korea Selatan memenuhi janji penghantaran dalam jangka panjang.

Penutup: alternatif yang semakin sukar diketepikan

Korea Selatan kini berada pada kedudukan unik kerana ia bukan kuasa pertahanan Barat tradisional, tetapi juga bukan pemain baharu tanpa pengalaman industri. Ia mempunyai keperluan pertahanan domestik yang besar, pangkalan industri aktif, sokongan kerajaan dan rekod eksport yang semakin meyakinkan.

Bagi ASEAN, daya tarikan Seoul datang daripada gabungan pragmatik, aset moden, harga lebih kompetitif, penghantaran lebih pantas dan kesediaan berbincang tentang kerjasama industri. Ini tidak menjadikan Korea Selatan jawapan kepada semua keperluan pertahanan, tetapi cukup untuk menjadikannya pilihan yang semakin sukar diketepikan.

Korea Selatan menunjukkan bahawa pengaruh global bukan hanya dibina melalui budaya popular. Dalam dunia pertahanan, pengaruh juga dibina melalui kilang, jadual penghantaran, pakej latihan, MRO dan keupayaan memenuhi keperluan negara pembeli pada masa yang tepat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply