Home DiskusiMengapa Malaysia tidak memiliki helikopter serangan berat?

Mengapa Malaysia tidak memiliki helikopter serangan berat?

Ketiadaan helikopter serangan berat dalam inventori pertahanan Malaysia bukan semata-mata soal kemampuan membeli aset, tetapi berkait rapat dengan ancaman, geografi, bajet dan keutamaan operasi negara.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Apabila melihat kehebatan helikopter tempur seperti Ka-52, AH-64 Apache atau Mi-28 beraksi di medan operasi, satu persoalan lazim pasti akan timbul dalam fikiran peminat sektor pertahanan tempatan. Persoalannya adalah mengapa Angkatan Tentera Malaysia masih tidak memiliki aset berkuasa tinggi sekelas ini bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Pada pandangan umum masyarakat, helikopter serangan berat dilihat sebagai simbol mutlak kekuatan udara darat yang lincah, bersenjata lengkap dan mampu memberikan perlindungan tembakan rapat yang pasti menggerunkan pihak musuh.

Namun begitu, realiti dalam dunia perancangan strategi pertahanan adalah jauh lebih rumit daripada sekadar memiliki kemahuan untuk membeli jentera perang yang canggih. Pertimbangan paling penting bagi perancang ketenteraan adalah untuk memastikan keupayaan sesuatu aset itu benar-benar menepati bentuk ancaman semasa, doktrin ketenteraan rasmi, topografi bentuk muka bumi dan kemampuan belanjawan kewangan negara.

Bagi negara seperti Malaysia, setiap peruntukan pertahanan perlu dinilai dan dibelanjakan secara strategik bagi memastikan kelangsungan pelbagai spektrum operasi keselamatan dapat dijalankan dengan optimum, berkesan dan menyeluruh.

Keperluan geografi dan cabaran keselamatan maritim yang unik

Helikopter serangan berat secara tradisinya direka khusus untuk mendominasi peperangan darat berintensiti tinggi. Platform tempur berkuasa besar ini dibina untuk memburu konvoi kenderaan berperisai musuh, menyokong pergerakan trup mekanis dan memberikan tekanan kemusnahan maksimum kepada formasi pasukan lawan.

Senario pertempuran konvensional ini bagaimanapun sangat berbeza dengan persekitaran geografi dan corak cabaran keselamatan harian yang dihadapi oleh Malaysia. Negara kita terbahagi kepada dua wilayah besar yang dipisahkan oleh hamparan luas perairan Laut China Selatan.

Dasar Pertahanan Negara dengan jelas telah menggariskan bahawa pemisahan fizikal ini menjadikan keselamatan laluan maritim serta ruang udara antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sebagai fokus strategik yang paling utama untuk dipertahankan.

Oleh yang demikian, peruntukan pertahanan negara terpaksa diagihkan secara berhati-hati untuk menampung keperluan pelbagai spektrum operasi yang lebih mendesak. Pasukan keselamatan sangat memerlukan keupayaan pengawasan maritim jarak jauh, mobiliti udara untuk tindak balas pantas, perlindungan sempadan maritim dan sokongan logistik rentas laut.

Keperluan kritikal terhadap pesawat rondaan maritim, kenderaan udara tanpa kru dan bot pemintas pantas menyebabkan perolehan helikopter serangan darat terpaksa diletakkan pada keutamaan yang lebih rendah.

Bagi Malaysia, MD530G menawarkan keseimbangan yang lebih praktikal kerana platform ini cukup lincah untuk misi peninjauan, mampu memberi sokongan tembakan ringan dan lebih munasabah untuk operasi keselamatan yang memerlukan tindak balas pantas. Foto: AirTimes

Pendekatan realistik melalui helikopter peninjau dan serangan ringan

Ketiadaan platform serangan berat tidak bermaksud Malaysia mengabaikan keupayaan sokongan udara darat secara seratus peratus. Tentera Darat Malaysia melalui Pasukan Udara Tentera Darat sentiasa merancang pembangunan kapasiti tempur mereka secara berperingkat dan realistik.

Pasukan ini telah membuktikan kesiagaan operasi mereka melalui penerimaan enam buah helikopter peninjau dan serangan ringan jenis MD530G. Aset buatan Amerika Syarikat ini mula diserapkan secara rasmi ke dalam inventori perkhidmatan pada awal tahun 2022 dan telah mempamerkan kelincahannya kepada umum dalam pelbagai eksesais utama termasuklah Latihan Kuasa Tembakan.

Walaupun helikopter MD530G memiliki spesifikasi fizikal yang jauh lebih kecil dan ringan berbanding helikopter tempur AH-64 Apache, ia merupakan pilihan yang sangat praktikal dan bertepatan dengan corak ancaman asimetri negara.

Aset udara ini didapati sangat cemerlang untuk melaksanakan misi peninjauan bersenjata, memberikan sokongan tembakan ringan dari udara dan menjayakan operasi cegah rintang terutamanya di sekitar kawasan geografi yang mencabar.

Pilihan ini menunjukkan pendekatan yang lebih sederhana. Malaysia mendapatkan keupayaan serangan udara pada skala yang lebih kecil, tanpa terus melompat kepada platform berat yang jauh lebih mahal dari segi perolehan, latihan, persenjataan dan penyelenggaraan.

Realiti kos kitar hayat dan pengurusan ekosistem logistik

Isu paling besar yang sering disalah faham oleh masyarakat awam berhubung perolehan ketenteraan adalah berkaitan pengurusan penyelenggaraan jangka panjang. Helikopter serangan berat bukan sekadar sebuah mesin terbang bersaiz besar semata-mata, sebaliknya ia bertindak sebagai satu ekosistem tempur yang sangat kompleks.

Sebarang keputusan untuk membeli platform canggih seperti Ka-52 memerlukan proses pembinaan semula infrastruktur pangkalan dan rantaian sokongan logistik yang berskala sangat besar. Selain itu, pihak kerajaan juga diwajibkan untuk melabur dalam pembinaan pusat simulator penerbangan, melatih tenaga pakar, menyimpan stok alat ganti kritikal dan menguruskan jangka hayat peluru berpandu udara ke darat yang menelan kos jutaan ringgit.

Perkara yang tidak boleh dinafikan kerana kos sebenar bagi mana-mana kelengkapan pertahanan tidak akan berhenti pada hari penyerahannya. Malah bagi aset ringan seperti MD530G sekalipun, kos kitar hayat harian yang merangkumi perkakas aeromekanikal, sistem avionik canggih dan alat ganti enjin sentiasa menuntut komitmen belanjawan tahunan yang besar daripada kerajaan.

Sekiranya perancang strategik Malaysia bertindak melulu memilih untuk menubuhkan sebuah skuadron baharu helikopter serangan berat, beban tanggungan kewangan ini pasti akan meningkat secara drastik dan berpotensi untuk merencatkan pelan pemodenan cabang perkhidmatan angkatan tentera yang lain.

Walaupun Malaysia tidak memiliki helikopter serangan kelas berat seperti kebanyakkan negara luar, kerana keperluan negara lebih tertumpu kepada gabungan aset yang praktikal, mampu disokong dan sesuai dengan ancaman semasa. Foto: Russian Ministry of Defense

Mengekalkan mobiliti udara pelbagai guna sebagai keutamaan semasa

Berdasarkan perkembangan corak operasi ketenteraan pada masa kini, helikopter utiliti dan helikopter pelbagai guna jelas kekal sebagai nadi utama kepada kelancaran pergerakan pasukan keselamatan negara pada setiap hari.

Pada tahun 2025, Kementerian Pertahanan telah mengambil inisiatif proaktif dengan melaksanakan tender baharu untuk urusan pajakan helikopter utiliti khusus bagi keperluan operasi berterusan Pasukan Udara Tentera Darat. Langkah drastik ini diambil bagi memastikan jurang operasi dapat ditutup segera selepas kerajaan terpaksa membatalkan penganugerahan kontrak terdahulu yang melibatkan pajakan helikopter jenis UH-60 Black Hawk.

Bagi sebuah negara maritim beriklim tropika seperti Malaysia yang kerap berhadapan dengan monsun tengkujuh dan insiden bencana alam, helikopter utiliti membawa nilai pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai berbanding peranan tempur semata-mata.

Platform udara ini direka khas untuk mengangkut trup tempur ke kawasan pedalaman, menghantar bekalan logistik kritikal ke pos kawalan sempadan, melaksanakan evakuasi perubatan udara kecemasan serta mendepani misi bantuan kemanusiaan. Manakala, helikopter serangan berat pula direka terlalu khusus untuk misi kemusnahan sasaran darat dan langsung tidak sesuai digunakan untuk menyelamatkan mangsa banjir atau memindahkan rakyat awam.

Dengan kekangan bajet negara yang wujud, keutamaan bajet pertahanan wajib disalurkan untuk memastikan operasi asas angkatan tentera berjalan lancar terlebih dahulu.

Merangka keseimbangan antara kemahuan strategik dan kemampuan nasional

Ketiadaan helikopter serangan berat di dalam hangar angkatan tentera tidak seharusnya dinilai sebagai satu kelemahan atau tanda kurangnya wawasan pihak perancang ketenteraan tempatan. Kerajaan dan ATM perlu menyeimbangkan kehendak operasi tersebut dengan realiti ancaman semasa, keluasan keselamatan maritim wilayah serantau serta kekangan tabung kewangan persekutuan.

Mesin perang yang gah dan berkuasa hebat tidak akan dapat berfungsi dengan cemerlang di medan tempur sekiranya ia tidak disokong oleh ekosistem penyelenggaraan yang utuh. Tanpa peruntukan berterusan untuk alat ganti dan bahan letupan, aset moden ini hanya akan berakhir sebagai objek pameran yang merugikan.

Jadi, persoalan untuk Malaysia bukan sekadar “bila mahu memiliki helikopter serangan berat”. Persoalan yang lebih tepat ialah apakah bentuk keupayaan udara darat yang paling sesuai dengan keperluan negara pada masa kini.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply