SEOUL, 7 Jun – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan 8 peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada Isnin sebagai tindak balas terhadap Pyongyang yang juga melepaskan peluru berpandu pada Ahad, kata tentera Korea Selatan.
Memetik laporan agensi berita Yonhap melaporkan Ketua Staf Bersama (JCS) berkata, tentera Korea Selatan dan AS telah melancarkan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) dari kawasan pantai timur di Wilayah Gangwon bermula jam 4.45 pagi selama 10 minit.
Pada Ahad, Korea Utara telah melancarkan 8 peluru berpandu balistik jarak pendek (SRBM) daripada 4 lokasi berbeza ke Laut Timur susulan latihan tentera laut Korea Selatan dan AS pada minggu lalu melibatkan kapal pengangkut pesawat AS.
“Tembakan peluru berpandu oleh Korea Selatan-AS menunjukkan keupayaan dan sikap untuk melancarkan serangan yang tepat dengan pantas ke atas sumber provokasi angkatan dan pemerintah tentera mereka,
“Tentera kami mengutuk sekeras-kerasnya beberapa provokasi peluru berpandu balistik Korea Utara dan menggesa menghentikan serta-merta tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan ketenteraan di semenanjung serta meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan,” kata JCS.
Pada masa sama, pegawai tentera Seoul memberi amaran bahawa provokasi ketenteraan Pyongyang akan dibalas dengan tindak balas yang sama.
Amaran ini dibuat sejurus selepas Korea Utara melancarkan 3 peluru berpandu balistik, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), pada 25 Mei lalu.
Korea Selatan dan AS buat kali pertama melancarkan peluru berpandu sejak 2017.